KOTA SAMARAHAN, 7 April: PAS menyifatkan sembilan teras dalam manifesto BN Sarawak yang dilancar hari ini sebagai 'meratib lagu lama' yang gagal dilaksanakan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang ditemui Harakahdaily di sini berkata, manifesto tersebut hanya tidak lebih untuk cuba memperbodoh rakyat negeri Sarawak untuk sekalian kalinya bila tiba waktu pilihan raya.
"Janji mereka itu terlalu asas yang sepatutnya telah diselesaikan lama apatah lagi hasil negeri Sarawak sangat banyak.
"Namun penderitaan rakyat masih berterusan. Saya lihat infrastruktur di negeri ini seperti 20 tahun ke belakang," katanya.
Rakyat ujarnya harus sedar, taraf hidup rakyat masih di tahap rendah kerana salah urus kerajaan negeri yang hanya mengkayakan ketua menteri dan kroni sahaja, bukannya rakyat.
"Mereka (BN) telah diberi masa yang lama, namun perkara asas seperti masalah air, jalan raya dan palang besar isu tanah masih tidak boleh selesai.
"Isunya, BN dah lebih 20 tahun, negeri ada petroleum dapat royalti, rakyat tak sampai tiga juta, tapi kenapa Sarawak masih seperti ini?" soal Salahudin lagi.
Sehubungan itu, beliau mahu rakyat Sarawak sedar dan berani menolak BN dan memilih Pakatan Rakyat yang mahu membela nasib mereka.
Tambahnya, cukuplah BN diberi peluang sekian lama mengaut hasil negeri untuk kepentingan pemimpin mereka sendiri, sedangkan rakyat merempat di bumi sendiri.
BN hari ini mengumumkan manifesto mereka, antara lain bercita-cita mahu menjadikan Sarawak - antara negeri termiskin- sebagai negeri terkaya di Malaysia.
Dengan tema "Bersama Memajukan Sarawak: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", ianya meliputi soal urus tadbir yang baik, naik taraf jalan raya, pengurusan alam sekitar, peluang perniagaan dan pekerjaan.
sumber : Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan