Sabtu, 16 Julai 2011

Pusat hiburan: PUM mahu semua negeri ikut Kedah


July 15, 2011
KUALA LUMPUR, 15 Julai — Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mahu negeri-negeri lain mengikut langkah Kedah melaksanakan larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.
“PUM menyokong penuh usaha kerajaan negeri Kedah untuk menguatkuasakan larangan pusat hiburan beroperasi sepanjang bulan Ramadan.
“PUM juga menyarankan semua negeri-negeri lain mencontohi usaha yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kedah,” kata Setiausaha Agungnya Dr. Mohd Roslan Mohd Nor dalam satu kenyataan.
Roslan berkata bulan Ramadan hendaklah disambut dengan memperbanyakkan amalan ibadah,  bukannya dengan hiburan-hiburan semata-mata.
PUM kata beliau turut kesal sekiranya ada usaha memperlekehkan larangan tersebut kerana ia tidak bermaksud buruk dan ia baik untuk semua kaum dan agama.
“Sehubungan itu, wajar usaha seperti ini disokong dan dilaksanakan,” katanya lagi.
Kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk melaksanakan sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 yang digubal masa era Barisan Nasional (BN).
Perkara itu dibantah oleh komponan BN khususnya MCA.
Menurut Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan sudah wujud sejak 1997 dan bukannya dasar baru.
Oleh itu kata beliau, enakmen itu terpakai sejak BN mentadbir Kedah, cuma tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sebelum ini.
Azizan berkata menurut enakmen itu, kategori hiburan yang tidak boleh diadakan sepanjang Ramadan ialah pertunjukan pancaragam, persembahan nyanyian di hotel, restoran dan bar, warung kopi, karaoke dan disko.
Bagaimanapun Ketua Biro Profesional Muda MCA Chua Tee Yong menyelar tindakan itu yang didakwanya sebagai menafikan hak asasi manusia dan hak dalam Perlembagaan terhadap bukan Islam.
sumber: The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top