Jumaat, 9 Disember 2011

Tok Guru masih boleh membantu memenangi Pas di Kelantan

Pendirian Betul Oleh Nik Aziz
Posted on Tuesday, December 06 @ 17:56:42 PST by tokdalang

Oleh Mohd Sayuti Omar

PERNYATAAN Mursyidul Am Pas Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk terus mempertahankan kerusi Chempaka yang disandangkan kini dalam pilihan raya ke-13 nanti satu keputusan tepat dan betul.



Walaupun saya secara peribadi merasakan sudah sampai Nik Aziz cuci tangan dengan tidak bertanding, tetapi perkembangan kini 'meminta' beliau menangguhkan untuk berundur. Ada sesuatu yang belum selesai dan harus diberesi oleh MB Kelantan itu sebelum beliau meletakkan tongkat jihad dari mikrab siasah.


Memang sudah ada hasrat dinyatakan oleh Nik Aziz sendiri yang beliau sudah letih dan mahu melepaskan tanggungjawab memimpin Pas kepada pemimpin lain. Beberapa pemimpin Pas Kelantan dikira sudah bersedia untuk menghadapi kemungkinan menerajui Pas selepas Nik Aziz melepaskan tanggungjawab itu.

Pas tidak 'kasik' dengan barisan pemimpin dan tokoh untuk mengambil alih menjadi kapten bahtera Pas. Nama-nama seperti Ahmad Yaacob yang kini TMB Kelantan, Mohd Amar Abdullah adalah dua nama yang dipanggang atas dapur politik untuk jadi pengganti Tok Guru.

Walaupun sebelum ini ada satu lagi nama juga turut dipanggang tetapi nampaknya nama itu telah hangus dan rentung di bakar bara cinta-cita yang tersangat panas. Ianya rentung sebelum sampai masanya kerana kesilapan diri dan juga persepsi ke atasnya semakin memburuk.

Namun kerana ada keperluan lain, khasnya dari segi pengaruh dan sakti yang ada kepada Tok Guru itu maka beliau diperlukan lagi. Permintaan itu bukan dari dirinya tetapi dari kalangan para penganalisa dan master mind Pas yang melihat Tok Guru masih boleh membantu memenangi Pas di Kelantan. Nik Aziz dilihat masih menjadi 'reng' kepada Pas Kelantan.

Adapun pendapat atau desakan agar Nik Aziz berundur ia dibuat oleh Umno yang gerun dengan pengaruh Nik Aziz. Desakan itu sebenarnya tidak bijak dari pihak Umno dan dengan desakan itu menjelaskan kepada Umno yang Nik Aziz tetap merupakan aset dan bagi diri Umno sendiri mereka kecut perut dengan Nik Aziz. Sebenarnya desakan Umno itu memberi markah tambahan kepada Nik Aziz.

Ada yang memberi alasan Nik Aziz harus berundur kerana Mahathir Mohamad telah pun berundur begitu juga Abdullah Badawi. Orang yang mengguna alasan begitu untuk melihat Nik Aziz berundur ternyata mereka yang dangkal dan tohor tasik politik. Orang yang tidak dapat membezakan di antara buah rambai dengan buah jejentik.

Mahathir walaupun hebat dia diminta berhenti kerana telah memberi liabiliti kepada Umno. Demikian juga dengan Abdullah walaupun baru empat tahun jadi ketua didesak berhenti kerana ia makin melemahkan Umno. Berbeza dengan Nik Aziz makin lama Pas menjadi makin kuat dan ampuh dengan adanya beliau. Nik Aziz juga menjadi pengikat kepada perpaduan Pas dan Pakatan Rakyat sekaligus.

Dalam pada itu umum tahu Umno sangat takut kepada arus Nik Aziz. Nik Aziz menjadi satu fenomena di Kelantan yang masih relavan hingga ke hari ini. Bahkan fenomena Nik Aziz yang diterima sebagai tokoh spiritual diterima semua golongan menjadikan beliau sebagai aset dan modal kepada Pakatan Rakyat.

Saya merasakan kalau Nik Aziz berusia di bawah 60 tahun pasti calon PM untuk Pakatan Rakyat bukan Abdul Hadi Awang atau Anwar Ibrahim tetapi beliau. Ini kerana penerimaan semua masyarakat terhadap pendekatan dan uslub politiknya menyeluruh. Orang Cina, India, Siam, Asli dapat menerima Nik Aziz sebagai pemimpin dalam masyarakat rencam dan majmuk di Malaysia ini.

Memandangkan Nik Aziz menjadi idola dan ikon mungkin boleh kalau Pas fikirkan untuk mempertaruhkan Nik Aziz menjadi PM. Masalah tua dan keletihan tidak timbul. Kalau Nik Aziz jadi PM dia boleh membentuk majlis atau badan khas untuk menjadi penasihat dan pelaksanaan tugas PM.

Badan itu nanti mungkin boleh dibentuk di kalangan pemimpin tertinggi dari parti-parti Pakatan Rakyat.

Dalam memperkatakan fenomena Nik Aziz ini Umno melakukan silap besar. Apabila Umno dalam perhimpunan mereka menyerang Tok Guru itu menjadi namanya semakin harum. Pengaruhnya semakin meluas dan pemerhati melihat Nik Aziz terus menjadi fenomena yang akan menguatkan Pas dan melemahkan Umno. Nik Aziz terus diingati dengan pelbagai konotasi.

Umno silap. Kalaulah benar Umno mengharap kemangan setelah Nik Aziz tidak memimpin Pas parti itu sepatutnya tidak menyebut Nik Aziz. Tidak memberi kredit kepada Pesuruhjaya Pas Kelantan itu. Tetapi kerana kurang bijak dan mendalam dalam politik terjadi sebaliknya. Nik Aziz menjadi getah sekerap yang makin 'dihenyek' dan dilayak makin anjal dan melenting ke atas sehinggakan menjadi satu objek yang mendapat perhatian umum.

Dalam menghidupkan hayat politiknya Nik Aziz tidak banyak memberi idea dan mengemukakan gagasan baru sebalik beliau hidup kerana kebijaksanaannya menjawab dan menempelak serangan dan kritikan Umno ke atasnya. Tanpa ketukan dari Umno mungkin beliau akan sunyi dan tidak jadi sepepular hari ini.

Berbalik kepada pendirian Nik Aziz untuk mengekalkan kerusi tadi, ia jangan pula menjadi tiruan pemimpin lain terutamanya wakil rakyat. Jangan pula bila Nik Aziz bercadang untuk mengekalkan kerusinya maka mereka juga berbuat demikian mengelisik bulu untuk terus kekal di kerusi masing-masing.

Nik Aziz adalah Nik Aziz yang tidak akan ada dua apa lagi tiga. Tidak mungkin kalau dicampur kesemua wakil rakyat Pas Kelantan yang ada mereka mampu melawan atau menyamai Nik Aziz. Tuhan memberikan orang seperti Nik Aziz untuk 100 tahun sekali. Nik Aziz adalah mujadid siasah yang harusnya tidak perlu dipertikaikan oleh sesiapa.

Cuma apa yang perlu dijagai peluang Pas khasnya dan rakyat negara ini memiliki Nik Aziz hendaklah dijaga dan diwarisi agar anugerah Tuhan ini tidak dipersia-siakan.

- artikel daripada Detikdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top