Jumaat, 10 Februari 2012

Bantah Syria

Umno, NGO diajak sertai demo bantah Syria esok
Harakahdaily, 09 Feb 2012




KUALA LUMPUR, 9 Feb: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengajak seluruh pemimpin dan ahli Umno serta NGO-NGO di bawahnya seperti Perkasa dan Pekida untuk turut serta bersama PAS serta NGO-NGO Islam yang lain dalam himpunan aman membantah kekejaman kerajaan Syria pimpinan Bashar Al Assad yang telah menyiksa dan membunuh ribuan rakyat mereka pada hari Jumaat, 10 Februari di hadapan kedutaan Syria.

Ketua Penerangan DPPM, Riduan Mohd Nor berpandangan, isu kezaliman tentera Syria ke atas rakyatnya sendiri merupakan isu sejagat dan wajib atas umat Islam seluruh dunia bangkit menyatakan bantahan.

Malah, katanya mendiamkan diri dengan menyaksikan ribuan umat Islam di sana diseksa, dipenjara dan dibunuh merupakan suatu dosa besar di sisi Islam.

Beliau berkata, DPPM melihat kezaliman tentera Basyar Al Assad sudah sampai ke kemuncaknya.

“Umat Islam tidak tertahan melihat ribuan umat Islam yang tidak bersenjata dibunuh dengan ditembak atau dibom sesuka hati.

“Dalam hal ini, pemimpin Umno yang memegang kuasa di negara ini tidak wajar hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa bantahan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, sekiranya benar pemimpin Umno memperjuangkan aqidah ummat, kezaliman Basyar Al Assad tidak harus hanya dipandang sebelah mata atau ‘menutup mata’ dengan berpura-pura tidak mengetahui isu sebenar.

Sepatutnya, kata beliau Perdana Menteri lebih dahulu bangkit bersuara lantang di peringkat antarabangsa bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman yang dilakukan.

“PM juga seharusnya berbincang dengan negara-negara OIC agar melakukan tindakan tertentu demi menyelamatkan umat Islam di Syria daripada terus menjadi mangsa pembunuhan,” ujarnya.

DPPM, ujarnya bersama seluruh NGO Islam yang lain bertegas demonstrasi pada hari esok adalah suatu manifestasi umat Islam dari seluruh pelosok dunia demi tidak mahu menyaksikan lebih banyak darah umat Islam tumpah di bumi Syria.

“Ayuh penuhkan ruang di Jalan Ampang dan Jalan U thant dengan kehadiran ribuan umat Islam di Malaysia ini. Umat Islam Malaysia bersamamu wahai rakyat Syria!” tegasnya.

- sumber berita dan gambar dipetik dari Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top