Sabtu, 19 Februari 2011

Pilihanraya Kerdau serentak dengan Merlimau


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan pilihan raya kecil DUN Kerdau diadakan pada 6 Mac dan penamaan calon pada 26 Februari, yang diadakan serentak dengan pilihan raya kecil DUN Merlimau.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof malam ini dalam sidang media di Kuching.

Pilihan raya Kerdau diadakan ekoran penyandangnya Zaharuddin Abu Kassim daripada BN yang meninggal dunia pada 12 Februari lalu akibat serangan jantung.

Ia merupakan pilihan raya kecil kali ke-16 bakal diadakan selepas pilihan raya umum 2008. 

Ia juga pilihan raya kecil pertama di Pahang.

Dalam pilihan raya umum lalu Zaharuddin menang kerusi DUN Kerdau dengan majoriti 1,615 undi, menewaskan calon PAS, Hassanudin Salim.

Kawasan tersebut mempunyai pengundi yang terdiri daripada 89 peratus Melayu, 6 peratus Cina, 3.7 peratus India dan 2.5 peratus kaum-kaum lain.

sumber : Malaysiakini

Jumaat, 11 Februari 2011

LABIS: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menetapkan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau telah ditetapkan pada 6 Mac sementara penamaan calon pada 26 Februari ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
"SPR telah mengadakan mesyuarat khas mengenainya pada malam ini dan menetapkan bahawa satu pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang diputuskan oleh SPR bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan.
"SPR telah bersetuju melantik seorang Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan tiga orang Penolong Pegawai Pengurus bagi menjalankan pilihan raya kecil berkenaan," katanya.
Menurutnya, SPR juga telah bersetuju untuk menubuhkan tiga Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang diketuai oleh seorang Pegawai Penguat Kuasa bagi setiap pasukan.
Bagi menjalankan pilihan raya kecil Merlimau, SPR akan menggunakan Dewan Platinum Politeknik Merlimau sebagai Pusat Penamaan Calon dan Pusat Penjumlahan Undi Rasmi.
"Sebanyak tujuh buah sekolah akan digunakan dengan 21 saluran mengundi.
"Seramai 248 orang petugas pilihan raya akan dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya ini dengan anggaran belanjawan sebanyak RM830,000," katanya.
Abdul Aziz berkata, Daftar Pemilih Induk Pilihan (DPI) 2009 bagi pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2010, Suku Tahun Kedua 2010 dan Suku Tahun Ketiga 2010.
Seramai 10, 679 pemilih berdaftatr yang terdiri daripada 10, 643 pemilih biasa dan 36 pengundi pos.
Daftar pemilih pilihan raya bagi pilihan kecil berkenaan akan mula dijual pada 11 Februari 2011.
"Semakan Daftar Pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi dan saluran mengndi boleh dibuat melalui laman web SPR, www.spr.gov.my atau melalui khidmat pesanan ringkas.
"Selain itu pengundi juga boleh menelefon ibu pejabat SPR di Putrajaya dan pejabat pilihan raya negeri Melaka untuk membuat semakan tersebut, " katanya.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan pada 20 Januari lalu.

Khutbah Terakhir Rasulullah SAW

Ketika Rasulullah mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu ialah:

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.

"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.

"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top