Rabu, 26 Januari 2011

Program Dato’ Seri Anwar Ibrahim Tawan DUN Tenang

27 Januari 2011 (Khamis)
1) 7.30 – 11.00 Malam – Jamuan Makan Malam Bersama Masyarakat Tionghua
Lokasi – Restoran G&D, Labis
Penceramah:
1. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
2. YB Mohammad Nizar Jamaluddin
3. YBhg Dato’ Seri Chua Jui Meng
4. YB Tien Chua
5. YB Nga Kor Meng
6. Calon (Pn Normala Sudirman)
2) 9.00 – 12.00 Malam – Ceramah – Ubah Sekarang / Selamatkan Malaysia
Lokasi – Markaz PAS – Kampong Redong
Penceramah:
1. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
2. YB Azmin Ali
3. YB Mohammad Nizar Jamaluddin
4. YBhg Dato’ Seri Chua Jui Meng
5. YB Zuraida Kamaruddin
6. Calon (Pn Normala Sudirman)
3) 9.00 – 12.00 Malam – Ceramah – Ubah Sekarang / Selamatkan Malaysia
Lokasi – Dataran PAS – Felda Cemplak Barat
Penceramah:
1. YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
2. YB Azmin Ali
3. YB Hatta Ramli
4. YB Zuraida Kamaruddin
5. Calon (Pn Normala Sudirman)

Guan Eng bidas MCA takutkan bukan Islam tentang Islam

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng mendakwa MCA membangkitkan isu negara Islam dalam kempen pilihan raya kecil Tenang kerana mahu menghalang bukan Islam daripada mengenali Islam.

Beliau berkata tindakan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyerang PAS dengan membangkitkan isu negara Islam semata-mata mahu menimbulkan rasa “ketakutan” di kalangan bukan Melayu di Tenang terutamanya orang Cina.

“Dia (Dr Chua) tak mahu kita tahu antara satu sama lain, sebab itu tidak mahu kita kenali Islam.

“Memang itu yang mereka mahu, itu yang pemimpin MCA mahu.

“Ia penting, tapi kita tidak bimbang jika MCA gunakan isu negara Islam kerana isu ini dah digunakan sejak pilihan raya 2008 lagi,” katanya pada sidang media di sini.

Terdahulu, Dr Chua berkata akan terus menyerang PAS dengan memberi amaran kepada pengundi-pengundi bahawa sokongan mereka hanya akan memperkukuh kedudukan parti Islam itu dalam Pakatan Rakyat.

Beliau berkata berkata meskipun DAP menjadi rakan komponen dalam Pakatan Rakyat parti itu tidak mampu menghalang PAS daripada meneruskan dasar negara Islamnya.

“Jika Pakatan (Rakyat) menang di peringkat persekutuan, yang saya rasa tidak mungkin, PAS akan menjadi ketua, selaku parti yang ada lebih banyak sumber berbanding DAP dan (Parti) Keadilan (Rakyat),” katanya.

Baru-baru ini Dr Chua berhadapan dengan kecaman PAS kerana mendakwa calonnya Normala Sudirman enggan bersalaman dengan pengundi lelaki.

Menurut Lim, Umno dan MCA yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) akan terus memainkan isu-isu yang akan menyebabkan sokongan rakyat beralih kepada pengundi daripada Pakatan Rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan Pakatan Rakyat yang dianggotai PAS, PKR dan DAP tidak mempergunakan antara satu sama lain.

“MCA akan dendangkan lagu dengan mengatakan kita adalah alat yang diperkudakan PAS kepada pengundi Cina.

“Tapi Umno pula akan kata PAS diperkudakan DAP kepada pengundi Melayu, saya nak tegaskan di sini PAS tidak perkudakan DAP, DAP tidak perkudakan PAS. Kita dalam Pakatan Rakyat tidak perkudakan sesiapa.

“Ada kata DAP dimelayukan kerana cakap bahasa Malaysia, kita rakyat Malaysia jadi kenapa tidak bercakap bahasa Malaysia. Lagipun bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara,” katanya.

Menurut Lim, Pakatan Rakyat akan menghadapi setiap serangan yang akan dilakukan BN dalam kempen pilihan raya kecil kawasan itu.

“Apa yang penting adalah kita memperjuangkan prinsip kebebasan, keadilan dan demokrasi untuk semua.
“Kita akan hadapi mereka dengan berlandaskan kebebasan, keadilan dan demokrasi,” katanya.

“Ia (salam) tidak perlu dibangkitkan dan Dr Chua tidak harus membuat serangan peribadi.

“Itu adalah pilihan Normala, kalau nak buat serangan peribadi kita pun boleh buat tapi kita tidak mahu.

“Saya harap Soi Lek faham, jangan nanti makan tuan,” katanya.

sumber : Media NT

 Muhyiddin diminta perjelas soal calon BN cuai

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat mahu satu penjelasan dari Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kecuaian calon BN bagi PRK Tenang Mohd Azahar Ibrahim sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat yang mengakibat tanah seorang penduduk dilelong tanpa pengetahuannya.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat berkata, ianya penting kerana rakyat Tenang harus diberi kepastian berhubung dakwaan tersebut apatah lagi Azahar adalah calon BN bertanding pada PRK itu.

Antara lain beliau mahu Muhyiddin menjelaskan kenapa calon mereka gagal memberi notis pendengaran kes lelongan kepada pemilik tanah dan juga kenapa ianya dilelong dengan nilai di bawah harga pasaran.

Beliau juga turut mempersoal kenapa rayuan pemilik tanah untuk mengelakkan lelongan tanah dengan membuat bayaran RM10,000 kepada bank tidak dilayan oleh Azahar.

"Mengapa hanya seorang pembida lelongan tanah sahaja yang hadir pada masa lelongan tersebut berlaku. Apakah terdapat perundingan jahat antara En. Mohd Azahar, jurulelong dan pembida semasa mahu melelong tanah En Mansor?" soalnya.

PAS semalam membuat pendedahan mendakwa Azahar cuai ketika menjadi penolong pegawai daerah Segamat, kerana telah mengakibat tanah seorang penduduk, Mansor Mohamad dilelong tanpa pengetahuannya.

Kes yang didakwa berlaku pada tahun 2003 itu bermula ekoran kegagalan Mansor membayar balik ansuran bank, dan kemudian Azahar dikatakan mengadakan satu inkuiri yang membawa kepada tanah Mansor dilelong tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun, pada tahun 2008, Mahkamah Tinggi Muar membuat keputusan yang memihak kepada Mansor di mana beliau menamakan pejabat tanah daerah Segamat sebagai defenden.

Kecuaian Azhar itu juga didakwa telah mengakibat nama baik pejabat pentadbir tanah Segamat terjejas dengan teruk.

Berikut adalah fakta kes tersebut mengikut versi PAS:

Tanah  En. Mansor Bin Mohamad HS(M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat telah di lelong pada 1/12/2003. Beliau mempunyai tunggakan bayaran hutang dengan pihak bank sekitar RM20,000. 

Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat  En. Mohd Azahar Bin Ibrahim yang juga calon Barisan Nasional (BN) pilihanraya kecil Tenang telah gagal menyerahkan notis pendengaran kes lelong ini kepada beliau.  

Secara rasminya Mansor tidak dimaklumkan tanahnya akan dilelong. Pada 19/9/2003 perintah jualan hartanah telah di keluarkan.

Menurut En. Mansor, sehari sebelum lelongan beliau telah membuat bayaran kepada pihak bank sebanyak RM10,000 bagi bayaran tunggakan bayaran hutang. 

Beliau merayu kepada En Mohd Azahar  agar tanahnya tidak di lelong. Pada hari tanahnya di lelong beliau membawa tunai sebanyak RM12,000 untuk menyelesaikan tunggakan hutangnya. Semua rayuan En Mansor tidak di layan.

Tanah seluas  8 ekar telah dilelong dengan harga RM70,000 sedangkan nilai tanah tersebut pada tahun 1996 bernilai RM116,000. Nilai semasa tanah tersebut dijangka RM120,000. 
Ini bermakna tanah En Mansor telah dijual dengan harga dibawah harga pasaran. Hanya seorang sahaja pembida yang hadir pada masa lelongan tersebut. Akhirnya tanah tersebut telah di beli oleh pembida tersebut.

En Mansor telah membuat saman pemula No 24(L) -674-2004 berkaitan tanah tersebut ke Mahkamah Tinggi Muar. Beliau  telah dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa tiada sebarang notis pendengaran kes lelongan hartanah diberikan kepada beliau.  

Pada 29/1/2008 Yang Arif Hakim Datuk Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah memutuskan membenarkan tuntutan En  Mansor ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat dengan kos akibat dari kecuaian pegawainya Mohd Azahar mengendalikan kes tersebut. 

Tanah tersebut telah dikembalikan kepadanya. Akhirnya Mohd Azahar telah dipindahkan ke Pejabat Daerah Kecil Renggit. Pangkatnya dikatakan telah diturunkan.


sumber : Harakahdaily

Selasa, 25 Januari 2011

Umno derhaka: Dulu, kini dan selamanya

AMPANG, 25 Jan: Seluruh rakyat negeri Selangor dan Malaysia semalam telah menyaksikan satu lagi sejarah penderhakaan pemimpin Umno BN, kata Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
Tambahnya, tindakan Adun Umno BN yang menolak usul pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor bagi tujuan mengembalikan kuasa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah cukup melayakkan syarat buat mereka untuk bergelar “Umno Penderhaka Sejati, Dulu, Kini dan Selamanya”.


“Selama ini Umno mengaku kononnya merekalah Juara Melayu, tetapi bila mana usul pindaan mahu mengembalikan kuasa Raja-raja Melayu, terutama Yang Mulia Raja Selangor dibentangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, mereka menolak mentah-mentah pula,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Beliau yang juga Keua Wanita PKR berkata, insiden semalam juga akan menjadi satu lagi ‘trade-mark’ kegagalan agenda Ketuanan Melayu Umno, selepas tragedi penarikan kuasa Raja-raja Melayu 1993.
“Dakwaan bahawa Umno parti pemusnah dan penindas bangsa Melayu kini tidak lagi diragui dan sudah terbukti benar,” katanya.

Justeru, ujarnya rakyat kini telah sedar, siapa Juara Melayu sebenar, siapa Hang Tuah tulen, yakni yang pastinya bukanlah Umno “Si Penderhaka Sejati, Dulu, Kini dan Selamanya”.
Ketua Pembangkang Dun Selangor, Datuk Satim Diman semasa membahaskan perkara itu semalam menegaskan beliau dan 20 Adun dari Barisan Nasional serta Adun Bebas tidak akan menyokong usaha kerajaan negeri untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri seperti yang dibentangkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim

sumber : Detikdaily oleh paktam

Usul Pindaan: 34 sokong, 20 tolak

SHAH ALAM, 24 Jan - Usul pindaan perlembagaan negeri Selangor berhubung soal pelantikan tiga pegawai kanan perkhidmatan awam negeri tidak dapat diluluskan ekoran ketiadaan sokongan dua pertiga Dewan Undangan Negeri.
Usul itu mendapat sokongan daripada 34 anggota dari Pakatan Rakyat manakala 20 wakil rakyat Barisan Nasional menolak.
Terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri.
Dalam twitter Menteri Besar Selangor dalam reaksi ini berkata “Hasil undi: 34 sokong, 20 tolak. BN menolak pengembalian kuasa kpd DYMM Sultan & Kerajaan Negeri. Usaha tadbir negeri dgn baik diteruskan.”

Isnin, 24 Januari 2011

PAS bangga DAP, PKR jawab isu bersalam

KUALA LUMPUR, 24 Jan: Umno yang memperdagangkan Islam dan memperkudakan mereka yang arif dalam agama untuk menghalalkan apa sahaja tindakan pemimpinnya.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyatakan demikian sebagai mengulas ucapan Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menuduh PAS memperdagangkan agama kerana telah melanggar fatwa dengan mencalonkan wanita menjadi calon di pilihan raya kecil Tenang.

“Nampaknya fikiran menteri yang jaga urusan agama sama seperti Tun Dr Mahathir yang membangkitkan isu yang sama.

“PAS tidak hairanlah dengan Tun yang sudah berada di hujung senja, jika dibandingkan dengan Datuk Jamil Khir yang masih muda dan arif berkenaan agama,” ujarnya kepada Harakahdaily.
Katanya, mungkin Jamil buat-buat lupa, kerana PAS pernah melantik Khatijah Sidik di Parlimen Dungun  pada tahun 1959.

“Sila buka balik sejarah, baru boleh beri komen dan keluar hukum,” ujarnya.
Katanya, kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek dan diikuti pula oleh Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe yang memainkan isu Cikgu Normala Sudirman yang enggan bersalam dengan lelaki adalah lambang orang agama dalam Umno gagal menerapkan Islam dalam BN.
PAS, ujarnya boleh memaafkan dua pemimpin daripada parti komponen BN yang tidak memahami situasi itu.

“Persoalannya apa yang tokoh-tokoh agama buat sepanjang 53 tahun berkawan dengan MCA dan Gerakan untuk menerangkan masalah hukum asas. Mungkin mulut orang agama dalam Umno sudah penuh dengan sagon,” katanya.

Justeru, tegasnya PAS merasa bangga isu bersalam itu dijawab oleh rakan-rakan DAP dan PKR yang bukan Islam.

Normala dapat sokongan akar umbi

LABIS, 17 Jan: PAS meletakkan calon wanita dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang kerana mendapati wujudnya keperluan untuk membawa suara wanita di negeri Johor.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan PAS Johor mengenai keperluan meletakkan calon wanita dan ianya mendapat sokongan akar umbi parti.
"Ini keperluan bagi negeri Johor dan kita melihat pandangan PAS Johor dan kita melihat golongan wanita juga adalah pengundi, bukan sahaja lelaki. Jadi mereka juga perlu suara di Dewan Rakyat dan Dun.
"Kita lakukan kaji selidik di peringkat bawah dan kita dapati calon kita mendapat sokongan akar umbi parti di samping mempunyai pengaruh kerana pernah berkhidmat di kawasan Dun Tenang," kata beliau dalam sidang media selepas mengumumkan calon PAS di Dataran Wayang Pacak, dekat sini malam tadi.
Normala Sudirman, 38, (gambar) dipilih sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat untuk bertanding di Dun Tenang, 30 Januari ini.
Berucap dalam majlis pengisytiharan calon sebelum itu, Abdul Hadi berkata, PAS memilih Normala sebagai calon kerana yakin dengan kemampuan beliau berkhidmat kepada masyarakat di kawasan tersebut selain kesungguhan yang ditunjukkan untuk berkhidmat kepada parti.
"Puan Normala tak minta jadi calon tapi kami (PAS) yang minta beliau  jadi calon.
"Beliau telah meletakkan jawatan bukan kerana nak jadi calon tapi letak jawatan guru kerana nak aktif sepenuhnya dalam parti dan masyarakat.
"Ini merupakan kesungguhan beliau untuk bersama dalam perjuangan," katanya di hadapan lebih 1,000 rakyat yang hadir bagi mengetahui siapakah calon yang dipilih PAS.
Abdul Hadi juga berkata, ini bukan kali pertama PAS meletakkan wanita sebagai calon setelah mendapati sejarah pemerintahan Islam sendiri mengiktiraf wanita sebagai pemimpin.
"Mengapa PAS pilih calon wanita? Sejarah Islam menunjukkan permulaan membina negara pada awal 1470 tahun dulu.
"Apabila Nabi Muhammad s.a.w mengajak pemimpin-pemimpin Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah untuk mengadakan bai'ah janji setia bagi menguatkan sebuah pemerintahan yang adil, di antara yang diminta melafazkan janji setia ialah dua orang wanita.
Menurutnya juga, dalam al-Quran sendiri ada menyebut hak wanita untuk terlibat dalam urusan pemerintahan negara.
"Islam telah memulakannya seribu tahun dahulu. Kalau kita membaca sejarah, penglibatan dalam menegur dan menasihati pemerintah bukan sahaja melibatkan lelaki tapi juga wanita.
"Apabila khalifah Umar Al-Khatab menyampaikan ucapan yang dipandang oleh wanita sebagai ucapan yang memperkecilkan mereka,  seorang wanita bangun di dalam majlis dan menegur Umar.
"Allah bagi hak kepada wanita di dalam al-Quran  tetapi berani ketua negara membatalkan hak menyebabkan Umar menarik balik apa yang diucapkan," katanya.
Katanya, PAS juga pernah menghantar calon wanita pertama ke Parlimen, Khatijah Sidek pada tahun 1960.
"Dalam sejarah PAS, PAS telah menghantar ahli Parlimen yang pertama selepas merdeka pada tahun 1960 dan berjaya memenangkan calon ketua muslimat, Khatijah Sidek. Jadi ini bukan kali pertama kita letak calon muslimat," katanya yang juga ahli Parlimen Marang.
Sementara itu, beliau juga menyeru seluruh petugas Pakatan Rakyat agar bertugas dengan berhemah sepanjang proses pilihan raya berlangsung dan tidak terpengaruh dengab sebarang provokasi pihak lawan.
"Dalam menghadapi pilihan raya Dun Tenang, saya menyeru kepada petugas Pakatan Rakyat supaya bekerja dengan tenang, jangan gelojoh, jangan melampau,  menjaga keamanan, menjaga ketenteraman dan menjaga perturan pilihan raya dengan baik," katanya.
Tambahnya, Pakatan Rakyat perlu menerima hakikat bahawa pilihan raya sering kali berlangsung dalam suasan yang tidak adil, dengan Umno BN mendapat segala kelebihan untuk berkempen.
"Bukan senang nak menang kerana kita  menghadapi pilihan raya dalam lapangan yang tidak sama rata. BN akan guna media perdana, stesen televisyen, radio untuk berkempen ke setiap rumah.
"Ini pilihan raya yang berbeza dengan amalan demokrasi moden dan  pilihan raya yang tidak adil. Kita diberi peluang yang terhad, ceramah yang terhad dan penerangan yang terhad," katanya.
Namun beliau meminta petugas parti tidak cepat berputus asa kerana Pakatan Rakyat sudah beberapa kali menang dalam siri pilihan raya kecil sebelum ini.
"Jangan risau kerana kita telah buktikan kita boleh menang dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini dan kita percaya kita boleh lakukan kali ini," katanya.

Ahad, 23 Januari 2011

Cikgu Mala atau ADO Azahar?


LABIS – Apakah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan kekal tenang, setidak-tidaknya sehingga 30 Januari ini apabila gendang perang bagi mengiringi pertaru:ngan yang dijangka sengit antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim dan calon Pas, Normala Sudirman mula dipalu pagi semalam?

Pegawai Pengurus PRK DUN Tenang, Md Asri Amir berkata, pada proses penamaan calon yang berlangsung di Majlis Daerah Labis (MDL) semalam, hanya dua calon yang sama-sama berusia 38 tahun, mengemukakan borang pencalonan.

Mohd Azahar, bekas Penolong Pegawai Daerah (ADO) Rengit menyerahkan borang pada jam 9.02 pagi manakala Normala, bekas guru yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mala dalam kalangan penduduk setempat, berbuat demikian lapan minit kemudian.

Md Asri berkata, pihaknya menerima tiga bantahan namun kesemuanya ditolak.

PRK DUN Tenang merupakan pilihan raya kecil yang ke 14 diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Ketika ditemui media, Mohd Azhar yang juga anak bekas ADUN Tenang, Ibrahim Daud, berkata beliau akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meraih sokongan daripada pengundi pelbagai bangsa.

“Kita akan cuba meraih undi daripada penduduk Melayu, Cina dan India di Tenang,” katanya.

Mohd Azahar yakin UMNO mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi DUN Tenang yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, 59, yang meninggal dunia 17 Disember tahun lalu.

Ditanya mengenai keputusan Pas meletakka:n calon wanita, beliau berkata, masing- masing mempunyai kelebihan.

“Kita ada cara dan pendekatan tersendiri begitu juga dengan mereka,” katanya.

Sementara, Normala yang juga Ketua Muslimat Pas Kawasan Labis percaya, pengundi Tenang akan membuat kejutan pada PRK ini.:

“Saya yakin mereka akan buat perubahan dengan satu keputusan yang tepat,” katanya.

Meskipun keputusan PRK DUN Tenang tidak akan mengubah kedudukan dalam DUN Johor yang terdiri daripada 56 kerusi - BN (50), DAP (4) dan Pas (2) - namun ia dijangka memberi petunjuk kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-13.

sumber : Sinar Harian
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top