Ramai wartawan menghubungi saya hari ini bertanyakan berkaitan isu "kecoh" dalam pemilihan cabang-cabang. Kebetulan saya baru selesai membaca akhbar Sinar Harian yang turut terpampang perkataan "KECOH" di muka depan.
Memang kecoh jadinya.Proses pemilihan kali ini dengan cara yang baru adalah satu model yang terbaik yang dilaksanakan oleh KEADILAN. Sepertimana yang pernah saya menjawab soalan seorang wartawan TV Selangor dua bulan yang lalu bahawa sudah pasti akan berlaku sesuatu di luar dugaan kerana ini adalah julung kali diadakan.
Sudah pasti ada kelemahan dan kekurangan.Daripada keseluruhan cabang-cabang yang berMATC (Mesyuarat Agung Tahunan Cabang), 96% berjalan dengan baik. Tidak ada kecoh-kecoh. Hanya 4 peratus (dalam lingkungan 7 atau 8 cabang) sahaja yang bermasalah dan menimbulkan kekecohan.
Itu pun berlaku permasalahan teknikal serta keghairahan ahli-ahli KEADILAN yang menyokong calon masing-masing. Ini membuktikan kesungguhan dan keghairahan ahli-ahli KEADILAN dalam menyertai MATC dan pemilihan kali ini cukup luar biasa.
Beberapa insiden pergaduhan dan ketegangan di cabang-cabang adalah disebabkan permasalahan teknikal. Dan langkah yang terbaik ialah menangguhkan pemilihan dan menyerahkan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menentukan semula tarikh pemilihan dan saya yakin akan diperkemas, diperbetulkan dan dilaksanakan dengan lebih baik terutama di kawasan yang sensitif dan 'panas'.
Kenyataan Ezam yang cuba masuk campur dalam urusan pemilihan KEADILAN sangat memualkan. Tidak perlulah membuat sebarang komentar. Ini bukan lagi parti anda. Keghairahan ahli-ahli KEADILAN dan jumlah yang ramai yang hadir dalam MATC kali ini luar biasa dan membuktikan kekuatan parti .
Malah disaksikan ada YB, Adun, Exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen kecundang dalam pemilihan parti kali ini. Kita benar-benar bukan seperti Umno dan Barisan Nasional. Ahli boleh menilai, berfikir dan berhak menyokong sesiapa sahaja tanpa dipengaruhi.
Menjadi Adun, MP atau Exco bukan tiket selesa untuk menang sekiranya tidak menjalankan tanggungjawab kepada ahli-ahli parti. Memenangi hati mereka dengan bekerja dengan baik. Ahli-ahli disemua peringkat mampu berfikir dan membuat keputusan.
Itulah budaya dalam KEADILAN, merit adalah menjadi kekuatan dalam membina sokongan ahli-ahli. Suasana kempen yang berlaku dalam tempoh pemilihan ini menjadi suasana agak tegang.
Masing-masing dengan ghairah berkempen bagi memastikan calon-calon mereka menang dalam menerajui pimpinan di cabang-cabang.
InsyaAllah, saya yakin isu ini akan selesai dan mampu diperelokan.
FARIS MUSA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan