Sabtu, 9 Oktober 2010

PRU 13 : Bagaimana kalau Anwar-Ku Li bergabung?

http://kalamperantau.wordpress.com 
Tidak ramai pemimpin yang berjaya memerintah selama 2 dekad mentadbir sesebuah pemerintahan kerajaan di Malaysia. Diperingkat pusat setakat ini hanya Tun Dr. Mahathir sahaja yang berjaya melakukannya dengan memerintah selama 22 tahun, satu rekod yang mungkin sukar dilakukan lagi selepas ini.
Tetapi diperingkat negeri, terdapat beberapa pemimpin kerajaan negeri yang berjaya melakukannya, iaitu Tan Sri Osman Saat (bekas Menteri Besar Johor), Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (bekas Menteri Besar Terengganu) dan Tun Lim Chong Eu (bekas Ketua Menteri Pulau Pinang) serta Datuk Patinggi Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak) dan Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan).      
Rekod semasa Menteri Besar atau Ketua Menteri paling lama berkuasa setakat ini masih dipegang oleh Datuk Patinggi Abdul Taib Mahmud, 74 yang juga Presiden Parti PBB, sebuah komponen BN dari Sarawak selama hampir 30 tahun yang memerintah negeri Sarawak sejak dari tahun 1981 hingga sekarang.

Manakala Nik Abdul Aziz Nik Mat hanya baru memerintah Kelantan sebagai Menteri Besar hampir 20 tahun sejak 20 Oktober, 1990 dijangka berjaya memasuki tempoh tersebut jika pilihanraya umum tidak diadakan secara mengejut sebelum 20 Oktober tahun ini.
Kejayaan PAS memerintah Kelantan ketika itu adalah kerana sikap PAS yang bersedia bekerjasama dengan Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Ku Li bersama Parti Melayu Semangat 46 (PMS46), serpihan UMNO berjaya mengembelengkan kekuatan pembangkang Melayu/Islam membentuk  Angkatan Perpaduan Ummah dengan PAS-Berjasa-Hamim-Kimma dan membentuk Gagasan Rakyat dengan DAP-IPF-PRM-PBS.
Kemampuan Ku Li menyakinkan PBS komponen BN yang memerintah negeri Sabah ketika itu keluar BN beberapa hari menjelang pilihanraya umum1990 untuk bersama dengan Gagasan Rakyat ternyata memberikan kejutan yang besar kepada BN. Kegagalan pembangkang terutama PMS46 di Pulau Pinang dan lain-lain negeri adalah disebabkan serangan saat-saat akhir terhadap Ku Li oleh media BN yang gagal ditangkis oleh pembangkang. 
Tetapi hasilnya cukup memberangsangkan di seluruh negara walaupun tidak berjaya sepenuhnya. Selain negeri Sabah yang berada dalam genggaman pembangkang, pembangkang (APU) Berjaya mencipta yang rekod yang tidak pernah dicipta dari dulu hingga sekarang, yakni menyapu bersih semua kerusi di Kelantan (APU:39, BN:0).
Saya tidak berapa ingat berapa lama Lim Chong Eu dari Gerakan memerintah Pulau Pinang tetapi lebih 20 tahun dan beliau hanya berjaya diundurkan dengan rakyat menolaknya dalam pilihanraya umum tahun 1990. Walaupun Gagasan Rakyat (GR) tidak mampu merampas Pulau Pinang tetapi berjaya menamatkan era pemerintahan Lim Chong Eu.
Begitu juga dengan Tan Sri Wan Mokhtar dan UMNO/BN yang memerintah Terengganu juga terselamat dalam pilihanraya umum tahun 1990 tersebut tetapi rakyat berjaya menolaknya dalam pilihanraya umum 1999 akibat kezaliman melampau UMNO/BN terhadap Anwar Ibrahim setelah  lebih 25 tahun Wan Mokhtar memerintah Terengganu menyebabkan rakyat muak.
Tetapi BN cepat menyedari mood rakyat yang sudah menolak Tun Mahathir pada tahun 1999 menyebabkan mereka mengambil tindakan drastik menggantikannya dengan muka baru, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau mesranya dipanggil Pak Lah yang dianggap Mr.Clean menyebabkan rakyat memberikan peluang kepadanya dengan mengembalikan Terengganu kepada BN dan Kelantan pun hampir-hampir tumbang dalam pilihanraya umum tahun 2004.
Tetapi disebabkan Pak Lah yang leka dengan kemenagan yang terlalu besar dalam sejarah politik politik Malaysia dan tidak menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi rakyat menyebabkan rakyat bangkit memberikan pengajaran kepadanya dan sekalgus tidak lagi mempercayai UMNO/BN pada pilihanraya umum tahun 2008.
Jika tahun 1990 ekoran tekerlibatan Ku Li bersama pembangkang, menyebabkan negerinya Kelantan berjaya di tawan dari UMNo/BN, keterlibatan Anwar pula pada tahun 2008 menyebabkan bukan sahaja negerinya Pulau Pinang tumbang tetapi merebak kepada Kedah, Perak dan Selangor. 
Selepas 20 tahun Kelantan diperintah PAS, Ibrahim Ali bercita-cita jadi MB?
 PAS dijangka akan menyambut ulangtahun ke-20 pemerintahan mereka pada bulan oktober akan datang ini. Selain daripada mengucapkan tahniah kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang berjaya mengemudi Kelantan selama 20 tahun, saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan rakyat Kelantan yang berjaya menabalkan seorang Sultan baru mengikut perlembagaan tidak seperti apa yang dilakukan oleh pemimpin UMNO/BN yang juga menabalkan Sultan baru yang dengan dengan kontroversi dalam tahun 1990’an dulu.
Ketika pemimpin-pemimpin PAS Kelantan masih memerlukan Tuan Guru Nik Abdul Aziz untuk terus menerajui Kelantan selepas ini, dilaporkan Ibrahim Ali, Presiden sebuah NGO dikenali sebagai PERKASA mula memberitahu rakyat bahawa beliau bersedia menjadi Menteri Besar Kelantan.
Dilaporkan beliau berkata, “PAS selama ini tidak buat apa-apa. Sebagai contoh masalah air di negeri ini sehingga sekarang masih belum selesai. Jadi kalau nak Kelantan maju, ikut saya. Kalau nak Kelantan maju, saya adalah orangnya kerana saya boleh membawa perubahan kepada negeri ini. Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya beliau menjadi Menteri Besar”
Dalam pilihanraya umumyang lepas, beliau diberikan ‘ehsan’ bertanding kerusi PAS di Parlimen Pair Mas setelah puas mengekori Tuan Guru Nik AbdulAziz dan dan memujuk PAS memberikan laluan kepada beliau bertanding dalam Pilihanraya Umumtahun ke-12 tahun 2008.
Ibrahim Ali  memenangi kerusi Pasir Mas buat pertama kali pada pilihan raya umum 1986 diatas tiket UMNO dengan memperoleh 55 peratus atau 15,711 undi dan mempertahankan kerusi itu empat tahun kemudian (1990) atas menggunakan tiket S46. Selepas itu tidak pernah memenangi sebarang kerusi parlimen atau DUN sehinggalah beliau memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya umum ke-12 atas tiket PAS setelah menewaskan calon Umno dengan majoriti 8,991 undi
Apa yang menarik dalam analisa sepintas lalu ini, Ibrahim Ali tidak ada kekuatan politik di Kelantan hatta di Pasir Mas sendiri yang dikatakan kubunya  kerana hanya memenangi kerusi parlimen Pasir Mas tersebut atas tiket UMNO (1986) dan Semangat 46 (1990) serta PAS (2008).
Beliau bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Pengkalan Pasir tetapi hanya mendapat sekitar 500 undi sahaja dan kalah dengan hilang deposit kepada calon UMNO, Hanafi Mamat selepas pilihanraya umum 2004 dalam pertandingan 3 penjuru. Begitu juga dalam pilihanraya umum 2004 bertanding di kerusi parlimen Pasir Mas tetapi tewas kepada Calon PAS Ismail Noh dalam pertandingan 3 penjuru.
Tidak dapat dipastikan bagaimana beliau akan menjadi Menteri Besar Kelantan? Kalau inilah calon Menteri Besar Kelantan yang hendak menggantikan Nik Abdul Aziz, beliau akan mengikut jejak Awang Adek, calon Menteri Besar Kelantan dalam pilihanraya umum yang lepas.
Apakah PERKASA ini akan ditukarkan menjadi sebuah parti politik seperti BERJASA yang beliau juga menjadi perancangnya pada penghujung tahun 1970’an dahulu ketika krisis Asri-Mohd Nasir dahulu? Kita lihat dahulu rentak dan tarinya bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, mantan Presiden UMNO yang sudah tidak mendapat tempat dalam UMNO sama seperti IbrahimAli juga.
Bagaimana agaknya politik Malaysia jika Ku Li yang juga sudah tersisih dalam UMNO bergabung dengan Anwar dalam pilihanraya umum ke 13 nanti? Jika Anwar dikatakan berjaya memujuk SAPP keluar BN selepas PRU ke-12 pada 2008, mampukah Ku Li sekali lagi memujuk PBS keluar BN jika beliau memilih untuk bergabung dengan pembangkang menjelang PRU-13 nanti? 
sumber : Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top