Selasa, 5 April 2011

Sayang Sarawak sungainya sempit…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Apakah mereka menyangka bahawa Kami telah memberikan kepada mereka kekayaan dan anak-anak. Padahal, Kami ingin menyegerakan memberi kebaikan untuk mereka, tetapi mereka tidak mahu mengerti.” (Al-Mukminun 23: 55-56)
***

SEUMUR hidup saya, hanya sekali saja saya berpeluang mengunjungi Bumi Kenyalang. Saya dan isteri menaiki kapal terbang dari KL ke Kuching, kemudian dari Kuching ke Sibu, juga dengan pesawat. Dari Sibu kami menaiki bot ekspres di Sungai (Batang) Rajang ke Sarikei yang ‘transit’ di pekan kecil seperti Bintangor. Saya saksikan sungai-sungai di Sarawak (termasuk Rajang) besar-besar dan panjang-panjang belaka, mencetuskan kehairanan saya mengapa seni kata sebuah lagu berbunyi, ‘Sayang Sarawak sungainya sempit.’


Saya mencari-mencari seni katanya yang lengkap, maka terjumpalah saya bait ini.

Sayang Sarawak sungainya sempit,
Berbuah nanas lamun-lamunan,
Hendakku bawa perahuku sempit,
Tinggallah emas tinggal junjungan.

Disebabkan kurang pengalaman di Sarawak, maka saya tafsirkan ungkapan ‘Sayang Sarawak sungainya sempit’ berdasarkan tidak diterimanya Umno di Sarawak (tinggallah kamu di Semenanjung) sedangkan parti lain hatta PAS yang dicemuh oleh pemimpin BN sudah lama bertapak di sana malah akan bertarung lima kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

Pemimpin Umno-BN seperti Muhyiddin Yassin menyifatkan parti-parti Pakatan Rakyat terutama PAS sebagai hantu dan jembalang di Sarawak, hakikatnya Umno yang gagal mendapat tempat adalah hantu sebenar yang ditakuti orang Sarawak. Jadi mungkinkah Sungai Sarawak yang sempit itu bermaksud negeri itu tiada ruang bagi Umno kerana keadaan sudah sesak (sempit) dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Taib Mahmud sudah bermaharajalela sejak sekian lama?

Bagi orang Sarawak mungkinkah kisah betapa hantunya Umno ini menakutkan mereka sehingga tidak memberi peluang parti ini hatta mendirikan cawangan pun di Sarawak. Terkini kemunculan dan pengakuan Dato’T (Abdul Rahim Tamby Chik, Shazryl Eskay Abdullah dan Shuib Lazim) dan kes video lucah menunjukkan betapa hantu Umno hanya mahu menjayakan cita-cita masing-masing. Mereka bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing. Fitnah dan rasuah sudah menjadi kebiasaan sesetengah mereka. Takut orang Sarawak dibuatnya.

Kedudukan dan pangkat dan kuasa menjadi impian hantu-hantu ini. Semua berebut jawatan tertinggi. Matlamat menghalalkan cara (kaedah Machiavelli), yang penting aku berada di kemuncak kuasa. Itulah Umno, dulu kini dan selamanya. Hantunya bermain kotor untuk menjatuhkan satu sama lain.

Hantu-hantu ini tidak peduli orang yang dipijak dan fitnah. Yang penting mereka dapat memuaskan nafsu organ yang berada antara pusat dan lutut mereka. Soal dosa pahala tolak ketepi. Mungkin jenayah qazaf pun mereka tidak ambil ‘pot’ (peduli). Qazaf atau menuduh orang berzina adalah satu dari dosa besar yang layak dikenakan hukuman hudud. Tahu tak hantu-hantu ini jika bersabit kesalahan qazaf boleh disebat 80 kali? Hantu mana ada takut kena sebat!

Hantu-hantu Umno memang banyak menyusahkan rakyat termasuk saya yang pernah menjadi wartawan arus perdana sejak 1986, jadi tahulah aku sikit sebanyak pasal cerita hantu Umno ini. Tahun 1986 ini, hantu Umno berkelahi besar. Tup-tup Musa Hitam 'resign' daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu, dia dan Dr Mahathir Mohamad dikatakan bagus 'kliknya'. Pemimpin 2M. Ini menyebabkan ada dua kumpulan dalam Umno. Ada geng Musa Hitam ada geng Dr Mahathir.

Peletakan jawatan Musa Hitam menyebabkan Umno berkrisis sepanjang tahun. Pemimpin menyalahkan satu sama lain. Sebagai pemberita, saya diheret ke sana, ke sini. Sanusi Junid, kata macam ini, Anwar Ibrahim (ini kisah dulu, sekarang sudah bertaubat kot?) kata macam itu pula. Ghafar Baba pula lain 'story', Khalid Yunus pula lain pula cakapnya.

Hantu-hantu Umno ini habiskan beras saja. Buat saya penat, dan orang lain penat. Sepatutnya mereka bersatulah, membangunkan bangsa, negara dan agama seperti yang sering dia orang ucapkan. Ini asyik bergaduh aja. Apabila bergaduh banyaklah tenaga, wang ringgit dan apa saja dibelanjakan untuk tujuan tidak berfaedah.

Kemudian tahun 1988 berlaku satu kejadian teramat dahsyat. Sebab asyik saman menyaman dan tidak puas hati, dalam satu kes, mahkamah putuskan Umno parti tidak sah. Ertinya Umno sudah mati. Umno sudah masuk kubur. Mungkin sudah jadi hantu.

Apabila Umno sudah mati, saya sebagai wartawan lagi susah. Kena berkejar sana, berlari sana, buat liputan. Bukankah hantu-hantu Umno ini menyusahkan rakyat saja. Bergaduh sampai parti diisytiharkan sudah mati. Apabila parti mati dan jadi hantu barulah mereka berpuas hati, agaknya.

Apabila Umno mati, ada geng pulak dalam Umno. Punyalah dia orang menyusahkan wartawan seperti saya dan banyak orang lain. Kejap kena kejar PJ, kejap kena pergi Bangsar. Pada satu majlis di PJ, aku dengar Rais Yatim dan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) lanyak cukup-cukup sama Dr Mahathir. Belasah sana, belasah sini. Itu tidak kena, ini tidak kena. Yang kena (bagus) dia orang saja. Turut hadir Rahmah Osman, mana agaknya puan ini sekarang?

Apabila Umno sudah mati, Dr Mahathir hidupkan Umno Baru. Mayat hidup balik. Ini betul-betul hantu. Masa mula-mula Umno Baru ini hidup, dalam suratkhabar, dituliskan Umno Baru, kemudian Umno (B) kemudian tidak pakai apa-apa lagi, Umno saja. Hakikatnya, parti yang ada sekarang adalah Umno Baru. Umno lama dah mati. Umno baru inilah yang banyak menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...(tak beranilah aku tulis sebab besok siapa tahu).

Sepuluh tahun kemudian (1998), Umno sekali lagi menyusahkan rakyat. Besar juga kesnya. Kali ini Timbalan Presidennya merangkap TPM, Anwar Ibrahim dipecat. Apabila dipecat, Anwar pun buatlah 'tour' jelajah Malaysia, cerita dia dizalimi.

Selain Anwar, turut berceramah satu negara adalah salah seorang Naib Presiden Umno ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi. Tujuannya untuk menenangkan ahli-ahli Umno. Ketika Anwar dipecat, Abdullah ada di Durban, Afrika Selatan, menghadiri Sidang Kemuncak Komanwel atas kapasitinya sebagai Menteri Luar, mewakilkan Mahathir.

Apabila balik (atau bergegas pulang?), Abdullah pun memulakan siri 'slow talk'nya kepada ahli-ahli Umno - menerangkan keadaan. Abdullah menjelajah kampung dan bandar, kononnya menceritakan keadaan sebenar. Beliau berusaha mengurangkan 'damage' yang sudah berlaku kepada Umno. Apa perkara sebenar yang diceritakan Abdullah itu?

Pada masa Anwar dipecat, saya sudah 'resign' daripada tugas sebagai wartawan. Saya sudah bosan dengan dunia kewartawanan begitu. Tetapi saya tetap mengikuti perkembangan semasa. Suatu hari saya sempat mengikuti 'talk' Abdullah kepada ahli-ahli Umno di Dewan Masjid Al-Azim yang terletak dalam Kompleks Masjid Al-Azim di tengah-tengah bandar Melaka.

Apa Abdullah cakap mengenai Anwar? Katanya, dia pun sedih dengan pemecatan Anwar. Mereka sama-sama dari Penang. Kongsi banyak perkara. Kongsi banyak rasa. Tetapi ada satu perkara yang tidak boleh ada dalam Umno, katanya. Ini kerana Anwar telah buat benda itu, dakwanya. Kerana sudah 'buat benda itu', Umno tidak dapat terima Anwar, katanya.

Demikianlah Umno berpecah lagi. Menyusahkan rakyat saja. Bukankah lebih baik semua tenaga yang ada digembleng untuk kebajikan rakyat. Ini asyik bergaduh saja, dulu, kini dan...Apabila banyak wang, tenaga, dan fikiran digunakan untuk bergaduh dan menaikkan diri sendiri, bila agaknya bangsa Melayu ini dapat ditolong.

Kalau betullah Umno dah tolong orang Melayu, baguslah. Tetapi aku percaya jika orang Umno, terutama pemimpinnya tidak bergaduh besar sepanjang masa, macam anjing dan kucing atau macam hantu, maka lebih banyaklah orang Melayu sudah tertolong. Apabila pemimpin asyik bergaduh macam mana rakyat nak jadi baik. Kata orang bapa borek, anak rintik.

Sebab apa pemimpin Umno ini asyik bergaduh? Salah satu sebabnya aku ingat, dia orang tidak amal Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Jika terima Islam sepenuh, selamat dunia akhirat. Taklah selalu gaduh-gaduh macam sekarang. Ini nak hidup macam hantu (termasuklah toyol yang melarikan duit dan harta benda), jadi mana tak kerap bergaduh.

Orang Umno mahu ingat parti sendiri pun pernah mati, pernah jadi hantu. Nanti Melayu pula akan mati. Kesian Hang Tuah dengan 'Melayu Tak Hilang Dari Dunia'nya. Jadi tolonglah pemimpin Umno, jangan menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...seperti yang awak sudah buat selama ini. Janganlah menambahkan ‘kehantuan’ anda di Sarawak.

Maka sebab itulah agaknya, orang Sarawak tak dapat terima Umno di bumi mereka. Maka berkokoklah Muhyiddin Yassin menyatakan parti-parti Pakatan Rakyat adalah hantu dan jembalang di Sarawak. Hakikatnya Umnolah hantu dan jerangkung, mungkin langsuir dan drakula (hisap darah rakyat) sebenar sehingga tidak dapat diterima orang Sarawak, al-maklumlah awal-awal lagi mereka sudah mendedangkan lagu, “Sayang Sarawak sungainya sempit…tidak boleh dibawa masuk kapal Umno.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top