Rabu, 7 Disember 2011

Majlis Jamuan Rakyat meraikan Sultan Kedah



Jamuan rakyat bersama Sultan Kedah
Oleh : SH UTARA/ROSNANI SAAD
Tarikh : December 6, 2011




ALOR SETAR - Lebih 6,000 rakyat Kedah dari seluruh daerah memeriahkan majlis Jamuan Rakyat yang diadakan di Dataran Jubli Emas, Suka Menanti, malam kelmarin bagi meraikan pelantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Jamuan Rakyat ini adalah kali kedua dianjurkan melibatkan enam daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Yan, Pendang dan Padang Terap.

Walaupun majlis dijadualkan bermula pada jam 9 malam, orang ramai sudah mula kelihatan memenuhi kawasan taman berkenaan seawal jam 7.30 malam kerana tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan Tuanku Abdul Halim.

Selepas majlis santapan selesai, Tuanku Abdul Halim dan Sultanah Kedah, Tuanku Haminah Hamidun, kerabat diraja Kedah serta barisan pemimpin Kerajaan Negeri dihiburkan dengan persembahan pelbagai kaum iaitu Melayu, Cina, India dan Siam.

Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad mengetuai barisan pendeklamasi sajak 'Kedaulatan Diraja' bersama Pegawai Daerah Pokok Sena, Dzuhir Md Zain, Pegawai Daerah Pendang, Md Nordin Yahya, Pegawai Daerah Padang Terap, Mohd Helwi Harun, Pegawai Daerah Kubang Pasu, Noh Dahya, dan Pegawai Daerah Yan, Zahari Ismail.

Kemunculan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keat Hwa S, adik Ahmad Iqbal Omar Baqi, 12, yang mendendangkan sebuah lagu Melayu dan sebuah lagu Hindi, turut memukau perhatian hadirin.

Pada kemuncak acara, tetamu yang hadir dihidangkan dengan pertunjukan air pancut muzikal dan disusuli dengan pertunjukan bunga api.

Berkuatkuasa 13 Disember ini, Tuanku Abdul Halim sekali lagi dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong oleh Majlis Raja-Raja selepas ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh lima tahun pada 21 September 1970 hingga 20 September 1975.

sumber: Sinar Harian Online

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top