Rabu, 3 April 2013

DUN Kelantan akan dibubarkan

Nik Aziz: Kelantan tak tangguh pembubaran Dun
3 April 2013


Nik Aziz

KOTA BAHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan akan tetap dibubar sejajar dengan pembubaran Dewan Rakyat hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata beliau tidak akan mengubah perkara itu walaupun kerajaan negeri masih boleh menangguh pembubaran Dun.

"Kelantan boleh tangguh seminggu lagi, tak ada apa, (tapi) saya tak suka kerja-kerja provok(asi), saya tak mahu dan saya akan buat sebagaimana yang saya
kata dahulu," katanya.

Nik Abdul Aziz bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Darul Naim di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau dijadual menghadap Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Istana Telipot di sini malam esok bagi mendapat perkenan baginda untuk pembubaran Dun Kelantan.

Nik Abdul Aziz berkata beliau sebelum itu akan menghadiri mesyuarat bersama menteri besar dan ketua menteri negeri-negeri di bawah pakatan pembangkang yang lain di Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Petaling Jaya, Selangor petang esok.

"Balik daripada mesyuarat, saya akan bawa benda (perkara dalam mesyuarat) untuk menghadap Tuanku dan terserah kepada Tuanku untuk menentukan bila
pembubaran Dun Kelantan.

"Saya akan menghadap Tuanku di Istana Telipot selepas Tuanku menghadiri majlis penutup Tilawah al-Quran peringkat negeri di Balai Islam, Lundang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Lajnah Politik PAS Kelantan di kediamannya di sini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat bagi membolehkan pilihan raya umum ke-13 diadakan.
PAS telah memerintah Kelantan sejak 1990 dan pada pilihan raya umum lalu menguasai 38 kerusi Dun, PKR satu kerusi dan Barisan Nasional enam kerusi.

Namun pada pilihan raya kecil Dun Galas pada 4 Nov 2010, BN merampas kembali kerusi itu dari PAS.

Bagi kerusi Parlimen di Kelantan, PAS menguasai lapan kerusi, BN (2), PKR (3) dan Bebas (1). 

- Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top