Jumaat, 8 April 2011

Selesaikan dulu tuntutan guru, Dato' TPM.

FRIDAY, 08 APRIL 2011 16:35


Tan Sri Muhyiddin, Selesaikan Segera Tuntutan Perjalanan Guru-GuruPDFCetakEmel
Ditulis oleh Ustaz Idris Ahmad   

Parti Islam Se-Malaysia PAS,  bersimpati dengan nasib guru-guru Kementerian  Pelajaran yang lambat menerima tuntutan. Menurut Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendedahkan ada Jabatan Pelajaran Negeri belum membayar tuntutan perjalanan pegawai pendidik walaupun selepas lebih setahun tuntutan dibuat. Ia membabitkan tuntutan perjalanan ke program dan kursus anjuran Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) sejak Februari serta Mac tahun  2010. Difahamkan perkara ini berlaku kerana peruntukan Kementerian Pelajaran dikurangkan.
Fenomena ini amat memalukan ketika Timbalan Presiden Umno yang juga Menteri Pelajaran sibuk temberang rakyat Sarawak dengan berbagai projek sempena pilihanraya Negeri Sarawak. PAS hendak menasihat Tan Sri Muhyiddin Yasin sebelum ke Sarawak selesai dahulu nasib guru-guru di bawah kementerian beliau dahulu. Di dalam Islam, kalau hendak bersedekah dekat orang lain biarlah anak kita tidak mengemis kepada orang lain. Nampaknya Tan Sri Muhyiddin sibuk buat amal sunat, perkara wajib diabaikan.
Nampaknya Kementerian Pelajaran sejak di bawah beliau semakin bercelaru. Sebelumnya berlaku lambakan lebihan guru Sains dan Metematik seramai 26,000. Mungkin beliau pening hendak menjawab tawaran Pakatan Rakyat yang dianggap satu cabaran kepada beliau apabila guru-guru akan diberikan imbuhan khas sebanyak RM500.00 setiap bulan. Untuk melindungi kelemahan beliau maka beliau memberi kenyataan jika ikut Buku Jingga negara bankrap. Sekarang siapa yang bankrap? Sehingga guru-guru tidak dapat tuntutan perjalanan walaupun hampir setahun.
PAS menasihatkan Timbalan Presiden Umno jagalah kebajikan anak kandung dulu sebelum memperdulikan anak orang. Negara akan runtuh jika memperolehi kerajaan yang tidak mengambil berat kepada guru-guru kerana mereka ialah orang yang bertanggungjawab menyediakan sumber tenaga manusia pada masa akan datang.

Ustaz Idris Ahmad
Ketua Penerangan PAS Pusat
sumber : PAS

Manifesto BN Sarawak sekadar 'ratib' lagu lama

Nazri Abdullah


KOTA SAMARAHAN, 7 April: PAS menyifatkan sembilan teras dalam manifesto BN Sarawak yang dilancar hari ini sebagai 'meratib lagu lama' yang gagal dilaksanakan.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang ditemui Harakahdaily di sini berkata, manifesto tersebut hanya tidak lebih untuk cuba memperbodoh rakyat negeri Sarawak untuk sekalian kalinya bila tiba waktu pilihan raya.

"Janji mereka itu terlalu asas yang sepatutnya telah diselesaikan lama apatah lagi hasil negeri Sarawak sangat banyak.

"Namun penderitaan rakyat masih berterusan. Saya lihat infrastruktur di negeri ini seperti 20 tahun ke belakang," katanya.

Rakyat ujarnya harus sedar, taraf hidup rakyat masih di tahap rendah kerana salah urus kerajaan negeri yang hanya mengkayakan ketua menteri dan kroni sahaja, bukannya rakyat.

"Mereka (BN) telah diberi masa yang lama, namun perkara asas seperti masalah air, jalan raya dan palang besar isu tanah masih tidak boleh selesai.

"Isunya, BN dah lebih 20 tahun, negeri ada petroleum dapat royalti, rakyat tak sampai tiga juta, tapi kenapa Sarawak masih seperti ini?" soal Salahudin lagi.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat Sarawak sedar dan berani menolak BN dan memilih Pakatan Rakyat yang mahu membela nasib mereka.

Tambahnya, cukuplah BN diberi peluang sekian lama mengaut hasil negeri untuk kepentingan pemimpin mereka sendiri, sedangkan rakyat merempat di bumi sendiri.

BN hari ini mengumumkan manifesto mereka, antara lain bercita-cita mahu menjadikan Sarawak - antara negeri termiskin- sebagai negeri terkaya di Malaysia.

Dengan tema "Bersama Memajukan Sarawak: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", ianya meliputi soal urus tadbir yang baik, naik taraf jalan raya, pengurusan alam sekitar, peluang perniagaan dan pekerjaan.

sumber : Harakahdaily

Khamis, 7 April 2011

PAS buka jalan rakyat Sarawak buat perubahan



KOTA SAMARAHAN, 6 April: Rakyat Sarawak sudah menyedari salah laku Ketua Menteri mereka, Tan Sri Abdul Taib Mahmud namun takut untuk membuat perubahan, kata ahli jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Beliau berkata, PAS sudah bersedia untuk membantu rakyat Sarawak keluar daripada ketakutan itu dan membuat perubahan di negeri ini.

"Rakyat Sarawak ngin meyakinkan parti-parti yang bertanding khususnya Pakatan Rakyat bahawa salah laku keluarga Taib Mahmud diketahui umum tapi mereka kurang berani menunjukkan kemarahan.

"Mereka gerun dan takut untuk buat perubahan dan mengharapkan kami untuk tanamkan keyakinan untuk jatuhkan Taib. Kita buat satu mukadimah masuk ke Muara Tuang supaya mereka berasa yakin," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Suarah, dekat sini hari ini.

Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga berkata, PAS sudah pasti ingin merampas kerusi itu dari BN, apatah lagi calonnya ialah adik Taib sendiri.

Namun katanya, jika hanya berjaya mengurangkan majoriti BN sekalipun, ianya merupakan kejayaan besar kerana PAS baru pertama kali bertanding di Dun itu.

"Peluang untuk PAS menang nampaknya 50-50 kerana ini kali pertama PAS bertanding di sini. Sebelum ini PKR bertanding dan mereka kalah dengan majoriti enam ribu lebih. Jadi kita rasa kalau pun kita dapat kurangkan majoriti pun satu kejayaan besar," katanya.

Mengulas mengenai calon wanita yang diletakkan PAS pula, beliau berkata ianya satu keputusan tepat kerana majoriti pengundi di Muara Tuang terdiri daripada wanita.

"Sebahagian besar pengundi di Dun ini adalah wanita jadi dengan PAS meletakkan Noraini yang dikenali di kalangan kebanyakan wanita di sini ini satu pilihan yang tepat," katanya.

Ini juga, katanya satu penghormatan kepada Dun Sarawak apabila memberi peluang kepada calon wanita.

"PAS memang mahu mengenengahkan lebih ramai calon wanita dan ini merupakan penghormatan kepada Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana boleh memberi peluang kepada calon wanita untuk menganggotai dewan," katanya.

PAS meletakkan Noraini Hamzah, 49, bagi menentang calon BN-PBB, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud, 61.

sumber : Harakahdaily

Selasa, 5 April 2011

Sayang Sarawak sungainya sempit…

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
“Apakah mereka menyangka bahawa Kami telah memberikan kepada mereka kekayaan dan anak-anak. Padahal, Kami ingin menyegerakan memberi kebaikan untuk mereka, tetapi mereka tidak mahu mengerti.” (Al-Mukminun 23: 55-56)
***

SEUMUR hidup saya, hanya sekali saja saya berpeluang mengunjungi Bumi Kenyalang. Saya dan isteri menaiki kapal terbang dari KL ke Kuching, kemudian dari Kuching ke Sibu, juga dengan pesawat. Dari Sibu kami menaiki bot ekspres di Sungai (Batang) Rajang ke Sarikei yang ‘transit’ di pekan kecil seperti Bintangor. Saya saksikan sungai-sungai di Sarawak (termasuk Rajang) besar-besar dan panjang-panjang belaka, mencetuskan kehairanan saya mengapa seni kata sebuah lagu berbunyi, ‘Sayang Sarawak sungainya sempit.’


Saya mencari-mencari seni katanya yang lengkap, maka terjumpalah saya bait ini.

Sayang Sarawak sungainya sempit,
Berbuah nanas lamun-lamunan,
Hendakku bawa perahuku sempit,
Tinggallah emas tinggal junjungan.

Disebabkan kurang pengalaman di Sarawak, maka saya tafsirkan ungkapan ‘Sayang Sarawak sungainya sempit’ berdasarkan tidak diterimanya Umno di Sarawak (tinggallah kamu di Semenanjung) sedangkan parti lain hatta PAS yang dicemuh oleh pemimpin BN sudah lama bertapak di sana malah akan bertarung lima kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.

Pemimpin Umno-BN seperti Muhyiddin Yassin menyifatkan parti-parti Pakatan Rakyat terutama PAS sebagai hantu dan jembalang di Sarawak, hakikatnya Umno yang gagal mendapat tempat adalah hantu sebenar yang ditakuti orang Sarawak. Jadi mungkinkah Sungai Sarawak yang sempit itu bermaksud negeri itu tiada ruang bagi Umno kerana keadaan sudah sesak (sempit) dengan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pimpinan Taib Mahmud sudah bermaharajalela sejak sekian lama?

Bagi orang Sarawak mungkinkah kisah betapa hantunya Umno ini menakutkan mereka sehingga tidak memberi peluang parti ini hatta mendirikan cawangan pun di Sarawak. Terkini kemunculan dan pengakuan Dato’T (Abdul Rahim Tamby Chik, Shazryl Eskay Abdullah dan Shuib Lazim) dan kes video lucah menunjukkan betapa hantu Umno hanya mahu menjayakan cita-cita masing-masing. Mereka bagaikan enau melepaskan pucuk masing-masing. Fitnah dan rasuah sudah menjadi kebiasaan sesetengah mereka. Takut orang Sarawak dibuatnya.

Kedudukan dan pangkat dan kuasa menjadi impian hantu-hantu ini. Semua berebut jawatan tertinggi. Matlamat menghalalkan cara (kaedah Machiavelli), yang penting aku berada di kemuncak kuasa. Itulah Umno, dulu kini dan selamanya. Hantunya bermain kotor untuk menjatuhkan satu sama lain.

Hantu-hantu ini tidak peduli orang yang dipijak dan fitnah. Yang penting mereka dapat memuaskan nafsu organ yang berada antara pusat dan lutut mereka. Soal dosa pahala tolak ketepi. Mungkin jenayah qazaf pun mereka tidak ambil ‘pot’ (peduli). Qazaf atau menuduh orang berzina adalah satu dari dosa besar yang layak dikenakan hukuman hudud. Tahu tak hantu-hantu ini jika bersabit kesalahan qazaf boleh disebat 80 kali? Hantu mana ada takut kena sebat!

Hantu-hantu Umno memang banyak menyusahkan rakyat termasuk saya yang pernah menjadi wartawan arus perdana sejak 1986, jadi tahulah aku sikit sebanyak pasal cerita hantu Umno ini. Tahun 1986 ini, hantu Umno berkelahi besar. Tup-tup Musa Hitam 'resign' daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sebelum itu, dia dan Dr Mahathir Mohamad dikatakan bagus 'kliknya'. Pemimpin 2M. Ini menyebabkan ada dua kumpulan dalam Umno. Ada geng Musa Hitam ada geng Dr Mahathir.

Peletakan jawatan Musa Hitam menyebabkan Umno berkrisis sepanjang tahun. Pemimpin menyalahkan satu sama lain. Sebagai pemberita, saya diheret ke sana, ke sini. Sanusi Junid, kata macam ini, Anwar Ibrahim (ini kisah dulu, sekarang sudah bertaubat kot?) kata macam itu pula. Ghafar Baba pula lain 'story', Khalid Yunus pula lain pula cakapnya.

Hantu-hantu Umno ini habiskan beras saja. Buat saya penat, dan orang lain penat. Sepatutnya mereka bersatulah, membangunkan bangsa, negara dan agama seperti yang sering dia orang ucapkan. Ini asyik bergaduh aja. Apabila bergaduh banyaklah tenaga, wang ringgit dan apa saja dibelanjakan untuk tujuan tidak berfaedah.

Kemudian tahun 1988 berlaku satu kejadian teramat dahsyat. Sebab asyik saman menyaman dan tidak puas hati, dalam satu kes, mahkamah putuskan Umno parti tidak sah. Ertinya Umno sudah mati. Umno sudah masuk kubur. Mungkin sudah jadi hantu.

Apabila Umno sudah mati, saya sebagai wartawan lagi susah. Kena berkejar sana, berlari sana, buat liputan. Bukankah hantu-hantu Umno ini menyusahkan rakyat saja. Bergaduh sampai parti diisytiharkan sudah mati. Apabila parti mati dan jadi hantu barulah mereka berpuas hati, agaknya.

Apabila Umno mati, ada geng pulak dalam Umno. Punyalah dia orang menyusahkan wartawan seperti saya dan banyak orang lain. Kejap kena kejar PJ, kejap kena pergi Bangsar. Pada satu majlis di PJ, aku dengar Rais Yatim dan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) lanyak cukup-cukup sama Dr Mahathir. Belasah sana, belasah sini. Itu tidak kena, ini tidak kena. Yang kena (bagus) dia orang saja. Turut hadir Rahmah Osman, mana agaknya puan ini sekarang?

Apabila Umno sudah mati, Dr Mahathir hidupkan Umno Baru. Mayat hidup balik. Ini betul-betul hantu. Masa mula-mula Umno Baru ini hidup, dalam suratkhabar, dituliskan Umno Baru, kemudian Umno (B) kemudian tidak pakai apa-apa lagi, Umno saja. Hakikatnya, parti yang ada sekarang adalah Umno Baru. Umno lama dah mati. Umno baru inilah yang banyak menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...(tak beranilah aku tulis sebab besok siapa tahu).

Sepuluh tahun kemudian (1998), Umno sekali lagi menyusahkan rakyat. Besar juga kesnya. Kali ini Timbalan Presidennya merangkap TPM, Anwar Ibrahim dipecat. Apabila dipecat, Anwar pun buatlah 'tour' jelajah Malaysia, cerita dia dizalimi.

Selain Anwar, turut berceramah satu negara adalah salah seorang Naib Presiden Umno ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi. Tujuannya untuk menenangkan ahli-ahli Umno. Ketika Anwar dipecat, Abdullah ada di Durban, Afrika Selatan, menghadiri Sidang Kemuncak Komanwel atas kapasitinya sebagai Menteri Luar, mewakilkan Mahathir.

Apabila balik (atau bergegas pulang?), Abdullah pun memulakan siri 'slow talk'nya kepada ahli-ahli Umno - menerangkan keadaan. Abdullah menjelajah kampung dan bandar, kononnya menceritakan keadaan sebenar. Beliau berusaha mengurangkan 'damage' yang sudah berlaku kepada Umno. Apa perkara sebenar yang diceritakan Abdullah itu?

Pada masa Anwar dipecat, saya sudah 'resign' daripada tugas sebagai wartawan. Saya sudah bosan dengan dunia kewartawanan begitu. Tetapi saya tetap mengikuti perkembangan semasa. Suatu hari saya sempat mengikuti 'talk' Abdullah kepada ahli-ahli Umno di Dewan Masjid Al-Azim yang terletak dalam Kompleks Masjid Al-Azim di tengah-tengah bandar Melaka.

Apa Abdullah cakap mengenai Anwar? Katanya, dia pun sedih dengan pemecatan Anwar. Mereka sama-sama dari Penang. Kongsi banyak perkara. Kongsi banyak rasa. Tetapi ada satu perkara yang tidak boleh ada dalam Umno, katanya. Ini kerana Anwar telah buat benda itu, dakwanya. Kerana sudah 'buat benda itu', Umno tidak dapat terima Anwar, katanya.

Demikianlah Umno berpecah lagi. Menyusahkan rakyat saja. Bukankah lebih baik semua tenaga yang ada digembleng untuk kebajikan rakyat. Ini asyik bergaduh saja, dulu, kini dan...Apabila banyak wang, tenaga, dan fikiran digunakan untuk bergaduh dan menaikkan diri sendiri, bila agaknya bangsa Melayu ini dapat ditolong.

Kalau betullah Umno dah tolong orang Melayu, baguslah. Tetapi aku percaya jika orang Umno, terutama pemimpinnya tidak bergaduh besar sepanjang masa, macam anjing dan kucing atau macam hantu, maka lebih banyaklah orang Melayu sudah tertolong. Apabila pemimpin asyik bergaduh macam mana rakyat nak jadi baik. Kata orang bapa borek, anak rintik.

Sebab apa pemimpin Umno ini asyik bergaduh? Salah satu sebabnya aku ingat, dia orang tidak amal Islam sepenuhnya dalam kehidupan. Jika terima Islam sepenuh, selamat dunia akhirat. Taklah selalu gaduh-gaduh macam sekarang. Ini nak hidup macam hantu (termasuklah toyol yang melarikan duit dan harta benda), jadi mana tak kerap bergaduh.

Orang Umno mahu ingat parti sendiri pun pernah mati, pernah jadi hantu. Nanti Melayu pula akan mati. Kesian Hang Tuah dengan 'Melayu Tak Hilang Dari Dunia'nya. Jadi tolonglah pemimpin Umno, jangan menyusahkan rakyat, dulu, kini dan...seperti yang awak sudah buat selama ini. Janganlah menambahkan ‘kehantuan’ anda di Sarawak.

Maka sebab itulah agaknya, orang Sarawak tak dapat terima Umno di bumi mereka. Maka berkokoklah Muhyiddin Yassin menyatakan parti-parti Pakatan Rakyat adalah hantu dan jembalang di Sarawak. Hakikatnya Umnolah hantu dan jerangkung, mungkin langsuir dan drakula (hisap darah rakyat) sebenar sehingga tidak dapat diterima orang Sarawak, al-maklumlah awal-awal lagi mereka sudah mendedangkan lagu, “Sayang Sarawak sungainya sempit…tidak boleh dibawa masuk kapal Umno.”
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top