Ahad, 23 Januari 2011

Cikgu Mala atau ADO Azahar?


LABIS – Apakah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang akan kekal tenang, setidak-tidaknya sehingga 30 Januari ini apabila gendang perang bagi mengiringi pertaru:ngan yang dijangka sengit antara calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim dan calon Pas, Normala Sudirman mula dipalu pagi semalam?

Pegawai Pengurus PRK DUN Tenang, Md Asri Amir berkata, pada proses penamaan calon yang berlangsung di Majlis Daerah Labis (MDL) semalam, hanya dua calon yang sama-sama berusia 38 tahun, mengemukakan borang pencalonan.

Mohd Azahar, bekas Penolong Pegawai Daerah (ADO) Rengit menyerahkan borang pada jam 9.02 pagi manakala Normala, bekas guru yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Mala dalam kalangan penduduk setempat, berbuat demikian lapan minit kemudian.

Md Asri berkata, pihaknya menerima tiga bantahan namun kesemuanya ditolak.

PRK DUN Tenang merupakan pilihan raya kecil yang ke 14 diadakan sejak Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008.

Ketika ditemui media, Mohd Azhar yang juga anak bekas ADUN Tenang, Ibrahim Daud, berkata beliau akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meraih sokongan daripada pengundi pelbagai bangsa.

“Kita akan cuba meraih undi daripada penduduk Melayu, Cina dan India di Tenang,” katanya.

Mohd Azahar yakin UMNO mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi DUN Tenang yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Sulaiman Taha, 59, yang meninggal dunia 17 Disember tahun lalu.

Ditanya mengenai keputusan Pas meletakka:n calon wanita, beliau berkata, masing- masing mempunyai kelebihan.

“Kita ada cara dan pendekatan tersendiri begitu juga dengan mereka,” katanya.

Sementara, Normala yang juga Ketua Muslimat Pas Kawasan Labis percaya, pengundi Tenang akan membuat kejutan pada PRK ini.:

“Saya yakin mereka akan buat perubahan dengan satu keputusan yang tepat,” katanya.

Meskipun keputusan PRK DUN Tenang tidak akan mengubah kedudukan dalam DUN Johor yang terdiri daripada 56 kerusi - BN (50), DAP (4) dan Pas (2) - namun ia dijangka memberi petunjuk kepada tarikh Pilihan Raya Umum ke-13.

sumber : Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top