Rabu, 26 Januari 2011

 Muhyiddin diminta perjelas soal calon BN cuai

KUALA LUMPUR, 26 Jan: Dewan Pemuda PAS Pusat mahu satu penjelasan dari Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan kecuaian calon BN bagi PRK Tenang Mohd Azahar Ibrahim sebagai Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat yang mengakibat tanah seorang penduduk dilelong tanpa pengetahuannya.

Ketua Penerangannya, Suhaizan Kaiat berkata, ianya penting kerana rakyat Tenang harus diberi kepastian berhubung dakwaan tersebut apatah lagi Azahar adalah calon BN bertanding pada PRK itu.

Antara lain beliau mahu Muhyiddin menjelaskan kenapa calon mereka gagal memberi notis pendengaran kes lelongan kepada pemilik tanah dan juga kenapa ianya dilelong dengan nilai di bawah harga pasaran.

Beliau juga turut mempersoal kenapa rayuan pemilik tanah untuk mengelakkan lelongan tanah dengan membuat bayaran RM10,000 kepada bank tidak dilayan oleh Azahar.

"Mengapa hanya seorang pembida lelongan tanah sahaja yang hadir pada masa lelongan tersebut berlaku. Apakah terdapat perundingan jahat antara En. Mohd Azahar, jurulelong dan pembida semasa mahu melelong tanah En Mansor?" soalnya.

PAS semalam membuat pendedahan mendakwa Azahar cuai ketika menjadi penolong pegawai daerah Segamat, kerana telah mengakibat tanah seorang penduduk, Mansor Mohamad dilelong tanpa pengetahuannya.

Kes yang didakwa berlaku pada tahun 2003 itu bermula ekoran kegagalan Mansor membayar balik ansuran bank, dan kemudian Azahar dikatakan mengadakan satu inkuiri yang membawa kepada tanah Mansor dilelong tanpa pengetahuannya.

Bagaimanapun, pada tahun 2008, Mahkamah Tinggi Muar membuat keputusan yang memihak kepada Mansor di mana beliau menamakan pejabat tanah daerah Segamat sebagai defenden.

Kecuaian Azhar itu juga didakwa telah mengakibat nama baik pejabat pentadbir tanah Segamat terjejas dengan teruk.

Berikut adalah fakta kes tersebut mengikut versi PAS:

Tanah  En. Mansor Bin Mohamad HS(M) 535, Lot 2091, Mukim Jabi, Daerah Segamat telah di lelong pada 1/12/2003. Beliau mempunyai tunggakan bayaran hutang dengan pihak bank sekitar RM20,000. 

Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat  En. Mohd Azahar Bin Ibrahim yang juga calon Barisan Nasional (BN) pilihanraya kecil Tenang telah gagal menyerahkan notis pendengaran kes lelong ini kepada beliau.  

Secara rasminya Mansor tidak dimaklumkan tanahnya akan dilelong. Pada 19/9/2003 perintah jualan hartanah telah di keluarkan.

Menurut En. Mansor, sehari sebelum lelongan beliau telah membuat bayaran kepada pihak bank sebanyak RM10,000 bagi bayaran tunggakan bayaran hutang. 

Beliau merayu kepada En Mohd Azahar  agar tanahnya tidak di lelong. Pada hari tanahnya di lelong beliau membawa tunai sebanyak RM12,000 untuk menyelesaikan tunggakan hutangnya. Semua rayuan En Mansor tidak di layan.

Tanah seluas  8 ekar telah dilelong dengan harga RM70,000 sedangkan nilai tanah tersebut pada tahun 1996 bernilai RM116,000. Nilai semasa tanah tersebut dijangka RM120,000. 
Ini bermakna tanah En Mansor telah dijual dengan harga dibawah harga pasaran. Hanya seorang sahaja pembida yang hadir pada masa lelongan tersebut. Akhirnya tanah tersebut telah di beli oleh pembida tersebut.

En Mansor telah membuat saman pemula No 24(L) -674-2004 berkaitan tanah tersebut ke Mahkamah Tinggi Muar. Beliau  telah dapat membuktikan kepada mahkamah bahawa tiada sebarang notis pendengaran kes lelongan hartanah diberikan kepada beliau.  

Pada 29/1/2008 Yang Arif Hakim Datuk Asmadi Bin Haji Asnawi, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Muar telah memutuskan membenarkan tuntutan En  Mansor ke atas Pentadbir Tanah Daerah Segamat dengan kos akibat dari kecuaian pegawainya Mohd Azahar mengendalikan kes tersebut. 

Tanah tersebut telah dikembalikan kepadanya. Akhirnya Mohd Azahar telah dipindahkan ke Pejabat Daerah Kecil Renggit. Pangkatnya dikatakan telah diturunkan.


sumber : Harakahdaily

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top