Sabtu, 18 Jun 2011

Karikatur: PAS Kelantan haram Utusan buat liputan acara MB, DUN


June 18, 2011
KOTA BARU, 18 Jun — Kerajaan PAS Kelantan hari ini mengharamkan akhbar Utusan Malaysia daripada membuat liputan acara yang melibatkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) berkuat kuasa serta-merta.
Semalam, PAS melancarkan kempen Boikot Utusan Malaysia kerana mendakwa akhbar itu menghina agama Islam menerusi karikatur yang disiarkan pada Rabu lalu.
Dipetik Bernama Online, Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Ahmad Fadzli Shaari berkata, keputusan itu dibuat berikutan penyiaran karikatur yang disifatkan menghina agama Islam berhubung isu rogol dan zina, yang disiarkan dalam akhbar berkenaan.
Surat rasmi oleh Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Urusetia DUN akan dikeluarkan dalam masa terdekat mengenai perkara itu.
“Tindakan itu akan berterusan sehinggalah pihak akhbar berkenaan memohon maaf secara rasmi atau menarik balik penyiaran karikatur berhubung isu itu,” katanya.
Laporan itu juga berkata, Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan merombak semula susunan anggota jawatankuasa peringkat negeri dengan mengekalkan pemimpin lama untuk tiga jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri iaitu, Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yacob, dan dua Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa dan Mohd Amar Nik Abdulllah.
Nik Abdul Aziz selaku Pesuruhjaya PAS Negeri itu berkata bekas exco yang juga anggota DUN Pulai Chondong, Zulkifli Mamat dilantik sebagai Setiausaha PAS Negeri menggantikan ADUN Kelaboran, Mohd Zaki Ibrahim, manakala ADUN Pengkalan Pasir, Hanifa Ahmad dilantik sebagai Bendahari PAS negeri.
Nik Abdul Aziz turut mengumumkan pengguguran ADUN Bukit Tuku, yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Rantau Panjang sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri dan digantikan dengan Setiausaha Politiknya, Wan Nik Wan Yusoff.
Ditanya mengenai pilihan raya umum ke-13, Nik Aziz mengulangi pendiriannya untuk mempertahankan kerusi DUN Chempaka jika kesihatannya mengizinkan.
“Kalau saya sihat, tenaga saya ada, Insya-Allah (akan bertanding),” katanya.
sumber: The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top