Selasa, 3 Mei 2011

Artis boleh umum parti pilihan mereka

Harakahdaily


KUALA LUMPUR, 2 Mei: Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs Khalil Idham Lim (gambar) mengalu-alukan tindakan segelintir artis yang telah menunjukkan sikap terbukanya untuk mengumumkan parti pilihan mereka.

“Saya berpandangan tindakan ini adalah wajar kerana semua rakyat Malaysia berhak memilih parti yang sesuai dengan selera dan pandangan mereka masing-masing manakah parti yang mereka anggap boleh membawa negara dan negeri kepada arah yang lebih baik,” ujarnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Justeru itu, katanya tidak boleh pula ada pihak yang menafikan kemajuan kerjaya seseorang artis walaupun dia tidak menyokong parti yang mewakili kerajaan.

Menurutnya, dunia artis adalah satu kerjaya dan ianya tidak boleh diganggu dengan penafian dan peluang untuk terus maju walaupun artis tersebut tidak menyokong kerajaan.

“Kerana itulah saya harapkan pengumuman tersebut bukan sebagai satu ‘lakonan’ serta kerana tawaran dan imbuhan tertentu,” ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Baginya, kalau mereka masuk sesebuah parti politik terserahlah kepada peminatnya sama ada akan mengikut tindakan itu atau terus meminati artis itu hanya kerana seninya sahaja.

“Harapan saya pada masa akan datang para artis akan lebih matang tanpa ada pengaruh mana-mana pihak atau kerana habuan tertentu untuk mengumumkan parti mana yg mereka pilih.

“Juga saya harapkan mereka lebih berani menunjukkan sikap mereka termasuklah seperti yg ditunjukkan oleh Bob Lokman yang mengumumkan menyertai PAS dan AC Mizal masuk Umno,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top