Ahad, 22 Mei 2011

Sempadan 1967: PM Israel tolak syor Obama


UPDATED @ 08:20:18 21-05-2011
May 21, 2011

Pertemuan tegang Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Presiden Barack Obama semalam di mana Yahudi tolak syor sempadan 1967 Washington. — Foto Reuters
WASHINGTON, 21 Mei — Tidak sampai 24 jam, digambarkan sebagai satu pertemuan yang tegang di sini semalam, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berterus terang kepada Presiden Barack Obama bahawa Israel menolak syor Washington agar ia kembali kepada “sempadan 1967” untuk menyelesaikan konflik dengan Palestin.
Pemimpin Israel itu menegaskan, pihaknya sanggup untuk membuat beberapa konsesi tetapi rejim Yahudi tidak akan kembali kepada sempadan asal.
Ketika Netanyahu mengumumkan pendiriannya itu, yang sememangnya telah dijangkakan banyak pihak dan masyarakat antarabangsa, Obama hanya mampu mendengar dengan wajah 'tegang'.
“Keamanan berdasarkan ilusi akan musnah dalam liku-liku realiti Timur Tengah,” kata Netanyahu tanpa mempamerkan senyuman ketika pertemuan dengan Obama di Oval Office.
Menurut laporan Reuters, pendirian keras Netanyahu kini menimbulkan persoalan bagaimana Obama akan menggerakkan usaha ke arah konsesi, yang beliau dilihat tidak akan peroleh, dan sama ada visi pelan damai yang dibentangkannya akan menjadi kenyataan.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Obama berkata beliau mengulangi pendiriannya kepada Netanyahu prinsip-prinsip keamanan yang disyorkan kelmarin dalam ucapan dasar mengenai perkembangan politik di Timur Tengah.
Kata beliau, matlamatnya ialah “perlu ada sebuah negara Israel, sebuah negara Yahudi, tetapi keselamatan yang berterusan dan negara Palestin yang efektif.”
Bagaimanapun Netanyahu, yang mengetuai pakatan sayap kanan dan propenempatan berkata, “kami tidak boleh balik kepada garisan yang tidak dapat dipertahankan.”
“Kami menilai usaha-usaha anda (Obama) untuk menggerakkan proses damai,” kata Netanyahu selepas pertemuan itu.
“Israel mahukan keamanan, saya mahu keamanan . . . kami mahu keamanan yang dapat bertahan, bagi keamanan itu, rakyat Palestin tidak boleh mengharapkan Israel akan kembali kepada sempadan 1967,” katanya lagi.
“Kami tidak boleh kembali kepada garisan (sempadan asal) . . . saya sudah berbincang dengan presiden,” katanya lagi.
Pemimpin Israel itu yang kelihatan dingin dalam hubungan dengan Obama sebelum ini, dilaporkan tidak dapat memperbaiki 'adunan peribadi' ekoran kesan pertemuan terbaru mereka semalam.
“Washington tidak faham realiti, tidak faham apa yang kami hadapi,” kata seorang pegawai kepada pemberita di pesawat yang membawa Netanyahu ke Washington.
Parti Demokratik, dianggotai Obama, turut berhadapan dengan kecaman pesaingnya Republikan yang menuduh Presiden AS itu mengkhianati Israel, yang merupakan sekutu rapat di rantau rantau Asia Barat.
Perkembangan terbaru ini juga dilihat akan menjejaskan usaha Obama yang dikatakan mahu bertanding semula pada pemilihan presiden akhir tahun depan.
Sebelum ini, Obama meletakkan sasaran untuk memastikan pelan keamanan konflik Israel-Palestin dapat diselesaikan menjelang September ini.
Rundingan yang diusahakan Washington atas inisiatif Obama gagal tahun lalu apabila Netanyahu enggan menghulurkan moratorium berhubung pembangunan penempatan di Tebing Barat.
Dalam ucapannya kelmarin, Obama berkata: “Kami percaya bahawa sempadan Israel dan Palestin seharusnya berdasarkan sempadan 1967 dengan pertukaran dipersetujui bersama.” — Agensi
sumber: The Malaysian Insider

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top