Ahad, 21 November 2010

Azmin tetap akan menang jika Zaid masih bertanding

Timbalan Presiden PKR Dr Syed Husin Ali berkata, beliau yakin Azmin Ali mampu menang dalam perebutan kerusi nombor dua parti itu walaupun sekiranya Datuk Zaid Ibrahim tidak menarik diri sebelum ini.

NONE"Saya rasa dia (Azmin) boleh menang. Saya percaya kalau Zaid masuk pun, dia (Azmin) boleh menang.

Saya percaya Zaid pun tahu, kerana dia tahu trend pencalonan.

"Tapi bila kita tahu, (sepatutnya) jangan memburukkan parti. Kenapa salahkan orang sahaja," katanya.

Dr Syed Husin berkata, sewaktu membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan yang disandangnya sekarang, persaingan bagi mengisi kekosongan itu memang sudah dijangkakan.

Bagaimanapun, tambahnya, "tak sangka menjadi teruk sehingga ada pihak yang mengecam dan memburukkan parti dan pimpinan dengan bekerjasama dengan pihak luar yang memusuhi parti".

"Pihak luar, misalnya media yang akan kaitan dengan parti-parti tertentu. Sebab pemilihan ini bukan sahaja dikomen buruk oleh media tertentu, tetapi juga dikomen oleh pemimpin parti politik tertentu," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini kelmarin.

azlanBagi Dr Syed Husin, insiden "memburukkan parti dan pimpinan" itu dimulai dengan tindakan Zaid mengkritiknya sebagai nyanyuk ekoran temubualnya dengan portal beritaMerdeka Review

"Saya percaya dia (Zaid) pun tidak baca interbiu itu. Kalau dia baca, dia tak akan tuduh saya (yang) menyatakan saya menuduh dia. Sebab saya tidak beri indikasi untuk memihak kepada sesiapa.

"Tapi dah jadi begitu... itu pun saya tidak menjawab. Bila sebut saya nyanyuk, nyanyuklah. Jadi saya tidak layan, sebab (ia) personal. Alhamdulillah, saya belum lagi nyanyuk," katanya sambil ketawa.

(Zaid bagaimanapun menafikan menggunakan gelaran itu kepada Dr Syed Husin, sebaliknya menyebut beliau sebagai "nyanyu" atau merepek.)

Dr Syed Husin yang juga bekas tahanan ISA mendedahkan, pada waktu itu terdapat cadangan supaya Zaid dikenakan tindakan displin susulan tindakan itu.

Bagaimanapun, tambahnya lagi, parti merasakan "kalau (tindakan) diambil displin, (ia) akan ditafsirkan seolah-oleh menyekat beliau untuk bertanding" dalam pemilihan parti.

"Tapi apa yang dilakukannya melanggar disiplin dengan serang parti dan kecam pimpinan. Semua itu melanggar displin. Dan memang dari awal sifatnya begitu," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa Zaid adalah "kuda trojan" atau musuh dalam selimut bagi memporak-perandakan parti, Dr Syed Husin berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya.

"(Itu kamu) kena tanya dialah...Tetapi seseorang itu, kita boleh dinilai dengan kata-kata dan tindakannya," katanya.

Mengimbau kembali pertemuannya dengan Zaid di Petaling Jaya setahun lalu, sebelum bekas menteri itu menyertai PKR, Dr Syed Husin berkata, beliau ketika itu berharap agar penyertaan seseorang dalam parti itu dibuat dengan niat baik.

"Tetapi saya kecewa, bila belum sempat beberapa bulan menjadi anggota, dia mulai serang parti kerana (apa yang berlaku) tidak sesuai dengan kehendak dia.

"Jadi, saya rasa perbuatan ini tidak baik dan susah diterima," katanya yang juga ahli Dewan Negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top