Selasa, 24 Mei 2011

Tuan Ibrahim Tuan Man Jadi Perhatian


Oleh Alan Ting
KUALA LUMPUR, 23 Mei (Bernama) -- Perhatian kini terarah kepada Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika tekanan semakin kuat bagi beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden PAS. Beliau sebelum ini telah mengumumkan bahawa beliau tidak berminat untuk bertanding jawatan tersebut. Semua calon mempunyai tempoh sehingga Khamis ini untuk membuat keputusan sama ada menerima atau menolak pencalonan untuk bertanding, namun sehingga kini Tuan Ibrahim masih membisu tentang jawatan yang beliau akan tandingi. "Maaf, saya tidak ada komen untuk dibuat pada masa ini," katanya ketika dihubungi. Beliau layak untuk bertanding jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden tetapi tekanan memuncak akhir-akhir untuk beliau bertanding jawatan nombor dua parti. Namun setakat ini beliau berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada sekadar mahu mempertahankan jawatan Naib Presiden atau bertanding jawatan Timbalan Presiden. Sumber parti memberitahu Tuan Ibrahim menerima 39 pencalonan untuk jawatan Timbalan Presiden dan 97 pencalonan bagi Naib Presiden daripada keseluruhan 146 kawasan. Dalam pada itu terdapat juga cadangan supaya beliau bertanding kedua-dua jawatan sebagai menghormati pencalonan yang beliau terima. Selain beliau, lima lagi termasuk Timbalan Presiden Nasharudin Mat Isa, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan ahli jawatankuasa kerja pusat Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu dicalon untuk bertanding kedua-dua jawatan Naib Presiden dan Timbalan Presiden. Setakat ini hanya Nasharudin dan Mohamad Sabu mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden sementara Salahuddin dan Husam mengumumkan tidak akan bertanding jawatan tersebut. Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding buat penggal kelima. Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Mohd Salleh pula dijangka mengekalkan jawatannya tanpa bertanding buat penggal ketiga ekoran tiga lagi calon belum membuat keputusan untuk menerima pencalonan bagi bertanding. Mereka ialah Timbalan Ketua Dewan Muslimat Siti Zailah Mohd Yusoff dan dua Ahli Jawatankuasa Muslimat Pusat Dr Asiah Ali dan Dr Siti Mariah Mahmud.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top