Ahad, 18 Mei 2014

BN perlu berhati-hati, kedudukan Terengganu rapuh, kata Ahmad Said

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (dua dari kanan) kelihatan gembira menyambut tetamu pada majlis perkahwinan anaknya hari ini di Kuala Terengganu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 17 Mei, 2014.

Jumaat, 9 Mei 2014

50 tahun Sabah, miskin tegar masih 'segar'

Azamin Amin | 28 April 2014.

Dipin Abu Bakar bukanlah sosok yang mahu ditonjolkan. Namun luahannya sebagai wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JKKP) di kampung itu, sesuatu yang mengejutkan.

"Sebelum pilihan raya umum-13, kerajaan BN berjanji kampung tradisi ini akan dikekalkan tetapi sebaik sahaja selesai, mereka halau kami.

PRK Teluk Intan 31 Mei, penamaan calon 19 Mei

Rabu, 7 Mei 2014

Kerajaan Kelantan akui enakmen hudud ada kelemahan, perlu tambah baik

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
MAY 07, 2014

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah semasa memberi penerangan berkenaan pelaksanaan hudud di Kelantan dalam wacana siri ke-27 yang bertajuk Hudud: Bersediakah Kita, di Auditorium Krangkraf Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 Mei, 2014.

Lulus Atau Tidak Di Parlimen; Perjuangan Menegakkan Hukum Allah Akan Diteruskan

KUALA NERUS – Melaksanakan sistem kehakiman berdasarkan undang-undang Islam, termasuk perlaksanaan hukum hudud adalah menjadi perjuangan PAS.

Pembentangan rang undang-undang persendirian (private bill) yang akan dibawa oleh wakil rakyat PAS dalam sidang parlimen, disifatkan satu kejayaan, dalam usaha PAS memperjuangkan Islam.

Yang DiPertua PAS Kuala Nerus, Cikgu Shukrimun Shamsuddin berkata, perjuangan PAS telah memasuki fasa yang penting dengan mencadangkan undang-undang hudud dan qisas ke parlimen.

“InsyaAllah hudud akan dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi……..ini merupakan satu kejayaan yang sangat besar bagi kita.

“Walaupun ianya akan dibentangkan sebagai ‘private bill’ oleh kerajaan, namun ia merupakan usaha daripada perjuangan kita,”ujarnya ketika berucap merasmikan Karnival Sukan PASTI pada Sabtu 3 Mei.


Beliau yang juga bekas ahli parlimen Kuala Nerus, samada ia mendapat sokongan dan diluluskan atau pun sebaliknya, ia merupakan momentum kepada PAS.

“Tak kiralah nanti sama ada ianya mendapat sokongan atau tidak tetapi itu merupakan titik tolak perjuangan kita. InsyaAllah selepas ini, tidak kira ianya lulus atau tidak lulus, sama ada ahli parlimen Islam semuanya menyokong atau tidak menyokong, kita tidak akan berdiam diri.

“Kita tidak buat kerja ibarat melepaskan batuk di tangga. Sekali kita melangkah, kita akan terus ke hadapan,”tegasnya.

Oleh itu, beliau menyeru semua umat Islam untuk bermunajat dan memohon kepada Allah, agar usaha murni memertabatkan hukum Allah, menjadi realiti.

Ia bukanlah satu perkara yang mustahil kerana menurutnya, Negara Brunei DarusSalam telah pun melaksanakan fasa pertama penguatkuasaan hukum tersebut.

“sama-samalah berdoa supaya usaha murni kita ini, yang akan dibawa oleh pihak kerajaan sebagai wakil kerajaan sebagai syarat untuk bawa private bill, akan diluluskan di parlimen.

“Alhamdulillah jiran kita, Brunei telah pun mengambil langkah untuk melaksanakan undang undang kecil kanun jenayah,”katanya.

Beliau turut memaklumkan kepada para hadirin, Majlis pendidikan PAS, akan menghantar wakil untuk mengadakan MoU dengan sebuah universiti di Negara Brunei bagi menjalankan persefahaman dan kajian berhubung kanun jenayah syariah yang akan dilaksanakan.

Selasa, 6 Mei 2014

Hati-hati ulas hudud, jangan sampai hina Islam - Reezal Merican

Astro Awani |Kemas kini:Mei 06, 2014
(Diterbitkan pada: Mei 06, 2014 16:10 MYT)



Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta semua pihak termasuk komponen Barisan Nasional agar berhati-hati dalam mengulas persoalan hudud supaya jangan melampau sehingga menghina Islam dan menimbulkan kemarahan umat Islam.

Katanya, perbincangan, diskusi dan komen mengenai hudud mestilah berasaskan pedoman dan landasan ilmu dan bukannya berdasarkan sentimen sempit.

"Apa yang berlaku mutakhir ini, perbahasan mengenai hudud sudah menjadi alat politik kepada orang tertentu untuk mendapatkan markah politik dan bukannya di atas dasar keilmuan dan keikhlasan," katanya dalam satu kenyataan media.

Reezal merujuk secara khusus kepada kenyataan Ketua Wanita Gerakan, Tan Lian Hoe baru-baru ini bahawa hudud mendiskriminasi kaum wanita dan menjadikan wanita serta kanak-kanak terdedah kepada jenayah rogol.

Dalam sidang media pada 29 April lalu, Lian Hoe berkata mangsa rogol sukar mendapat pembelaan kerana jenayah itu sukar dibuktikan tanpa keterangan empat saksi lelaki Muslim.

Reezal berpendapat kenyataan ketua sayap parti komponen Barisan Nasional itu adalah satu contoh bagaimana ia boleh dianggap sebagai menghina hudud dan Islam itu sendiri.

"Tan Lian Hoe dan mana-mana pimpinan komponen BN mesti sedar, komen yang melampau mengenai Hudud mungkin sahaja menimbulkan kemarahan kalangan umat Islam secara keseluruhannya.

"Komen kononnya hudud akan membela perogol, sebagai contoh, adalah satu ulasan yang sangat kasar dan tidak berasaskan kepada fakta yang sebenar.

"Hudud mestilah dilihat secara keseluruhan dan bukan melalui perspektif hukuman semata-mata seperti yang diberikan ulasan oleh Tan Lian Hoe," katanya.

Jelas Reezal, komen mengenai hudud "yang tidak berlapik, bersifat semberono dan singkat ilmu" akan menyulitkan masyarakat untuk berbincang mengenai hudud.

Beliau merujuk kepada usaha membawa perbincangan mengenai undang-undang jenayah syariah itu pada peringkat panel pakar yang akan diwujudkan dengan kerjasama antara Putrajaya dengan kerajaan negeri Kelantan dan PAS.

Reezal mengingatkan semua pihak supaya memberi ruang kepada jawatankuasa teknikal itu "yang arif dan faham dengan pelaksanaan hudud" untuk memperhalusi persoalan undang-undang jenayah syariah berkenaan.

"Batas di antara memberi komen mengenai hudud sekaligus menghina Islam itu jangan sesekali dilanggar dan diambil sambil lewa.

"Sebagai pemimpin, kita perlu sensitif dengan banyak perkara dan hal. Jika asas ini pun gagal difahami oleh pemimpin parti komponen, kita akan menempuh jalan yang sukar," katanya.

Inisiatif penubuhan jawatankuasa teknikal bagi mengkaji pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Kelantan itu diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom selepas satu perbincangan dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Kota Bharu pada 2 Mei lalu.

“Penubuhan jawatankuasa ini untuk memastikan pelaksanaan jenayah syariah Islam ini dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kebijaksanaan dan juga keadilan bagi umat Islam,” kata Jamil Khir.

Jawatankuasa teknikal yang diselaraskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu juga akan meneliti peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan hak rakyat bukan Islam dilindungi.

Polemik mengenai hudud berbangkit semula apabila kerajaan negeri Kelantan mengumumkan hasrat membawa usul rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat untuk melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 di negeri itu.

Hudud: Antara jalan lurus dan berliku

MOHAMED HANIPA MAIDIN | 05 Mei 2014.



SIAPA yang menyatakan Umno tidak inginkan faedah politik dalam isu hudud adalah mereka yang naif dalam politik. Umno adalah parti yang boleh berlakon di sebelah pagi menyokong hudud dan di sebelah petang menentang pula hudud.

Adakah Umno benar-benar serius dalam isu hudud ini. Untuk kenal sikap Umno, kita bandingkan dulu sejarah PAS dan Umno dalam isu hudud ini. Dari sejarah ini kita boleh buat kesimpulan siapakah yang lebih serius dan ikhlas dalam isu hudud ini.

Kita pergi dulu kepada PAS. Terdapat dua Kerajaan Negeri yang dikuasai PAS dan pernah dikuasai PAS iaitu Kelantan dan Terengganu. Kedua-dua negeri ini telah menjalankan tanggungjawabnya menggubal enakmen syariah yang merangkumi undang undang hudud. Bagi Kelantan, setiap tahun mereka menyambut Hari Hudud bagi menerangkan tentang hukum hudud.

Berapa ramai pemimpin PAS di seluruh peringkat yang berceramah, berforum, berseminar tentang hudud, berdialog dengan mereka yang faham dan yang tidak faham tentang hudud, berwacana dengan penyokong dan penentang hudud sejak sekian lama. Malahan penyokong PAS yang bukan Islam dari Dewan Perhimpunan PAS juga tidak ketinggalan menyumbangkan tenaga mereka dalam isu hudud ini.

Saya masih ingat Kerajaan Terengganu di bawah PAS pernah mengadakan seminar dan dialog dengan pelbagai kumpulan politik dan bukan politik dengan meminta mereka memberi pandangan dan kritikan terhadap draf enakmen syariah yang PAS ingin bentangkan dalam DUN Negeri Terengganu. Malahan Umno juga dijemput meskipun mereka tidak hadir.

Saya juga masih ingat, saya bersama sama Datuk Wan Mutalib Embung dan Almarhum Datuk Harun Taib pernah berdialog dengan golongan NGO Wanita termasuk Sisters in Islam di Century Paradise, Kuala Lumpur berkenaan isu hudud. Hatta PAS juga berdialog dengan DAP dan golongan bukan Islam dalam isu hudud. Pokoknya PAS sudah buat apa yang terdaya di dalam kemampuannya mengenai hudud ini.

Kita lihat pula Umno. Meskipun lama berkuasa tidak pernah sekalipun mana-mana negeri yang diperintah oleh Umno menggubal jauh sekali membentang rang undang undang hudud di mana mana DUN yang Umno perintah. Semua orang tahu meskipun Umno menguasai media massa sama ada media bercetak dan elektronik, Umno tidak pernah berusaha memberi penerangan kepada rakyat mengenai kebaikan dan kelebihan hukum hudud. Jika dalam kes GST Umno sanggup gunakan segala prasarana berkempen untuk GST dengan membelanjakan wang berbilion ringgit, Umno sebaliknya tidak bernafsu untuk berkempen tentang hudud dengan semangat yang sama.

Jika Umno yang bermajoriti orang Islam tidak terasa terpanggil untuk menerangkan hudud di televisyen atau di radio yang mereka kuasai, Umno terpanggil pula menentang dan memperlekeh hudud. Kita boleh bawa banyak bukti kenyataan kenyataan para pemimpin Umno memperlekeh hudud. Malahan ada pemimpin Umno yang sanggup mengugut Kelantan dalam isu hudud dan ada juga bekas pemimpin Umno yang cabar hudud di Mahkamah. Apabila Adun PAS di Dun Terengganu baru-baru ini membawa usul untuk bincang enakmen hudud di Terengganu, Kerajaan Trengganu yang dikuasai Umno tolak usul tersebut.

Umno bukan sahaja gagal berdialog, berseminar, berwacana bagi menerangkan kebaikan hukum hudud kepada rakyat, malahan tidak bersungguh memberi penerangan kepada sekutunya MCA atau Gerakan yang amat bernafsu menghentam hudud dengan sesuka hati. Jika DAP menentang hudud kerana berpendapat ia bercanggah dengan Perlembagaan tanpa menghina hukum hudud, MCA pula memperlekeh hudud sehingga sanggup untuk menjadi rantai manusia (human chain) bagi menghalang PAS bentang rang undang-undang persendirian Ahli Parlimen di Parlimen. Sehingga kini kita tidak dengar reaksi pemimpin Umno termasuk Presidennya menegur gelagat MCA dan Gerakan.

Kini secara tiba-tiba Umno mengubah strateginya dalam isu hudud. Umno sedar isu hudud amat mudah untuk memecah belah Pakatan Rakyat. Maka Umno tukar skrip dan tukar watak. Dari watak penjahat kini Umno cuba berwatak hero dalam isu hudud. Ia semata-mata untuk lariskan tiket wayang. Tetapi masih bermain wayang. Bukankan parti sekular seperti Umno berpegang kepada motto matlamat menghalalkan cara.

Adegan pertama watak "hero" Umno dalam wayang gambar ini adalah mencabar PAS bentangkan rang undang-undang persendirian Ahli Parlimen (private member's bill) bagi memberi laluan kepada Kelantan untuk laksanakan hudud. Apabila adanya respon daripada Kelantan, maka diteruskan adegan kedua iaitu pemimpin tertingi Umno menziarahi tokoh PAS. Adegan ketiga watak hero ini adalah mewujudkan Jawatankuasa Teknikal bersama. Bagaimanapun dalam wayang gambar itu ada juga adegan si hero membiarkan rakan sekutunya MCA dan Gerakan mengamuk menyerang PAS dan hudud itu sendiri.

Bagi mereka yang naif politik akan menyatakan kepada PAS bukankan Umno sudah beri peluang mengapa PAS tidak gunakan ruang yang diberi. Ya benar Umno beri ruang tapi diberi ruang yang sempit dengan Umno tinggalkan ruang yang besar. Disuruhnya PAS memilih jalan yang sempit dan berliku meskipun di sana ada jalan yang lurus dan lebih selesa.

Menyuruh PAS membentang rang undang-undang persendirian bagi memberi ruang perlaksanaan hudud di Kelantan adalah ibarat menyuruh PAS menggunakan jalan sempit dan berliku kerana proses pembentangan rang undang-undang persendirian berliku-liku jalannya. Antaranya ia perlu mendapat persetujuan Menteri dan ia juga tidak boleh mengatasi urusan Kerajaan termasuk usul-usul lain. Prosedur terperinci boleh dilihat dalam Artikel 67 Perlembagaan Persekutuan dan Aturan 49 Peraturan Mesyuarat (Standing Orders). PAS pernah melalui Presidennya bentang rang undang-undang persendirian mengenai murtad untuk Wilayah Persekutuan, ia bukan sahaja tidak dapat sokongan Menteri malahan diletakkan di senarai paling bawah dalam aturan mesyuarat Parlimen.

Mungkin ada yang kata itu dulu, kini Umno dah berubah. Ya, Umno dan berubah tapi bukan ubah perangai sebaliknya ubah strategi. Jika ubah perangai paling kurang minta maaf dera rakyat Kelantan selama ini dan beri wang royalti.

Jika Umno serius dalam membantu Kelantan kita berhak bertanya mengapakah Umno sendiri enggan membawa rang undang-undang Kerajaan (government's bill) sepertimana rang undang-undang lain yang biasa dibentangkan di Parlimen. Ia lebih mudah dan Pasti akan berjaya kerana jika undang-undang dibawa oleh Kerajaan ia wajib disokong oleh semua parti komponen Umno termasuk dari Sabah dan Sarawak. Maka jika sekalipun DAP dan PKR katakan tidak menyokong ia masih akan lulus.

Oleh sebab itu, selama ini jika Kerajaan kemukakan rang undang-undang di Parlimen meskipun dalam perbahasan rakan sekutu Umno kadangkalan mengkritik rang undang-undang itu tapi mereka akhirnya masih mengundi rang undang-undang itu. Hal ini kerana jika mereka menolak rang undang-undang yang dibawa oleh Kerajaan akan berlakunya undi tidak percaya dan mungkin terbubar Parlimen.

Keadaan yang sama tidak berlaku bagi rang undang-undang persendirian. Jika PAS yang bawa rang undang-undang persendirian, Umno tidak perlu dan tidak wajib Pastikan rakan-rakan sekutunya seperti MCA, Gerakan, MIC dan ahli ahli Parlimen BN Sabah dan Sarawak menyokong rang undang undang yang PAS akan bawa. Maka jika Umno sokong sekalipun rang undang undang itu tanpa sokongan dari sekutu mereka maka hasrat untuk melihat rang undang-undang itu diluluskan ibarat kata Mat Sabu seperti menunggu ikan keli tumbuh sisik.

Di sinilah kita mempunyai 1001 sebab untuk percaya Umno hanya bersandiwara dalam isu ini. jika Umno serius dalam isu hudud ini, lupakan rang undang-undang persendirian. Sebaliknya Umno perlu bawa rang undang-undang Kerajaan yang kamu kuasai maka ketika itu barulah kewujudan Jawatankuasa Teknikal adalah relevan dan bermakna.

Isnin, 5 Mei 2014

Nozula terharu dikunjungi ramai pemimpin PAS

ASLANI M | 05 Mei 2014.

GUA MUSANG: “Saya berasa tenang dan sejuk sekali dalam hati ketika dikunjungi pemimpin-pemimpin PAS semasa dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.


“Ada yang datang membawa air tawar dan tidak ketinggalan mereka mendoakan saya sepanjang 11 hari dirawat di sana,” kata Adun Paloh, Datuk Nozula Mat Diah ketika dikunjungi anggota Exco, Datuk Che Abdullah Mat Nawi di rumahnya di Chiku 3 petang semalam.

Hadir sama pada kunjungan itu Timbalan Yang Dipertua PAS Gua Musang, Ustaz Azman Ahmad, Penyelia Dun Galas, Ustaz Abdullah Husain dan Penyelia Dun Paloh, Noraini Hussin.

Nozula bersama keluarganya terbabit dalam kemalangan di Km 23 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai pada 17 April lalu ketika dalam perjalanan ke Perak.

Kemalangan itu menyebabkan isterinya, Datin Maziah Din meninggal di tempat kejadian, manakala Adun Paloh mengalami kecederaan serius pada dada, paru-paru dan tujuh tulang rusuknya patah.

Nozula yang kini sudah mampu berjalan namun masih mengadu sakit di bahagian dada memberitahu semasa dirawat di Ipoh, Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob dan wakil-wakil rakyat PAS menziarahinya.

Dan paling ramai pemimpin PAS Perak termasuk bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

“Ketika Tengku Razaleigh Hamzah datang melawat saya di sana, saya sebut kepadanya, kita mungkin tidak lama lagi dapat berkawan kerana ramai pemimpin PAS datang menziarahi dan mendoakan saya.

“Mungkin saya juga boleh bersama mereka,” katanya sambil berseloroh diikuti ketawa rombongan Che Abdullah yang menziarahinya.

Nozula juga memberitahu tiga minggu sebelum kejadian, isterinya beriya-iya benar mahu menukar perabot dan cat di bahagian dalam rumahnya kepada warga putih.

“Segala kusyen, dinding rumah dan perabot ditukar kepada warna putih. Pada suatu malam dia menunggu sehingga jam 1 pagi melihat pekerja sedang mengecat rumah.

“Saya tanya mengapa tidak tidur lagi, dia kata mahu tengok orang mengecat rumah,” kata Adun Paloh.

Suasana putih jelas kelihatan di bahagia dalam rumahnya. Hampir kesemua ruang termasuk perabot dan perhiasan dalaman juga kelihatan putih.

Pada kunjungan itu Che Abdullah turut menghulur sumbangan atas simpati kematian isterinya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top