Rabu, 7 Mei 2014

Kerajaan Kelantan akui enakmen hudud ada kelemahan, perlu tambah baik

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
MAY 07, 2014

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah semasa memberi penerangan berkenaan pelaksanaan hudud di Kelantan dalam wacana siri ke-27 yang bertajuk Hudud: Bersediakah Kita, di Auditorium Krangkraf Shah Alam, hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 Mei, 2014.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah mengakui terdapat beberapa kekurangan dalam enakmen hudud negeri tersebut yang memerlukan penambahbaikan.

Mohd Amar berkata, perkara itu diperoleh melalui perbincangan dan respons dengan masyarakat umum selepas Kelantan memutuskan untuk membawa enakmen yang diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 1993 ke Parlimen.

"Kita di Kelantan, semenjak kita luluskan pada tahun 1993, kita membuat semakan balik kepada enakmen tersebut

"Memang ada peruntukan-peruntukan yang boleh mengelirukan seperti hasil daripada respons masyarakat," katanya.

Mohd Amar berkata, hasil penambahbaikan itu akan diberikan penjelasan kepada rakyat.

"Kita dalam proses mengemaskan balik peruntukan-peruntukan itu...yang tidak berapa jelas kita akan perjelaskan supaya lebih nyata kepada masyarakat.

"Aspek-aspek yang dirasakan tidak mantap, kita akan mantapkan dalam undang-undang tersebut sebab kita ambil respons daripada semua," katanya.

Mohd Amar turut menegaskan, tiada agenda tersembunyi PAS membawa enakmen itu ke Parlimen menggunakan Umno memandangkan parti Melayu itu katanya membuat tawaran.

"Bila Umno nyata pendirian, kita ambil peluang yang ada. Kita tiada agenda tersembunyi," katanya.

Selain Mohd Amar, turut menjadi panel dalam wacana dua jam itu adalah bekas Musfti Perllis Prof Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dan Timbalan Pengarah Institut Wasatiyah Malaysia Dr Mushaddad Hasbullah. – 7 Mei, 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top