Khamis, 8 Mei 2014

Bekas mufti: Seragam hukuman hudud, sivil


Bekas mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainal Abidin mencadangkan agar hukuman kepada orang Islam mengikut hukum hudud diseragamkan dengan hukuman untuk orang bukan Islam bagi kesalahan melibatkan keselamatan awam.

Bercakap dalam satu program wacana di Shah Alam hari ini, pensyarah itu berkata kesalahan itu termasuk jenayah rompakan dan rogol.


Katanya, hukuman hudud itu sepatutnya dikhaskan bagi kesalahan melibatkan dosa peribadi sahaja seperti minum arak dan zina.

Tambahnya, beliau secara dasarnya menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan namun menegaskan, dasar yang bersih dari rasuah dan jenayah harus dibina terlebih dahulu demi keselamatan awam.

"Kita kena bezakan dosa urusan peribadi dan dosa melibatkan keselamatan awam.

"Dalam masyarakat antara isu yang besar ialah rasuah mereka yang laksanakan hukuman termasuk polis hendaklah bersih," kata dalam program anjuran Sinar Harian itu.

Sarjana itu mengingatkan bahawa pelaksanaan undang-undang itu harus adil kepada golongan "sultan, bangsawan dan orang biasa."

"Saya bersama Kelantan (untuk sokong hudud) tetapi untuk perlaksanaan kita ada masalah.

"Janganlah seperti kita ada pintu yang cantik tetapi dipasang atau dipadankan di rumah yang buruk," kata beliau.

Selesai isu zakat dahulu

Asri juga berkata mekanisme Islam lain seperti isu pungutan dan pengurusan zakat dan perkara lain perlu diuruskan dahulu sebelum cuba melaksanakan hudud.

"Kita ada lebih RM1 billion wang zakat. Hudud penting tetapi nas (bukti) zakat lagi banyak dari hudud di dalam Al-Quran. Kalau kita kemaskan dulu hal zakat ini tak akan ada alasan orang mencuri

“Zaman Khalifah Umar Abdul Aziz dulu tak jumpa orang layak terima zakat tapi sekarang isi borang mintak zakat tak dapat-dapat,” katanya.


Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah mempertahankan bahawa pelaksanaan hukum hudud di negeri tersebut memberi keadilan kerana hanya dikuatkuasa ke atas orang Islam.

Dalam program sama, beliau berkata orang Islam perlu menerima hukuman bagi kesalahan tersebut memandangkan mereka memilih untuk menjadi orang Islam.

Mereka perlu menerima secara keseluruhan termasuk hukuman yang ditetapkan dalam al-Quran, katanya.

"Macam orang masuk tentera dia kena setuju dengan peraturannya kerana ia pilihannya sendiri. Jadi orang masuk Islam, masuk askar kena terima apa yang berlaku," katanya.

Beliau menjawab satu soalan oleh timbalan presiden MCA Datuk Wee Ka Siong, yang mempersoalkan hukuman tidak adil diberikan kepada pesalah berlainan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top