Ahad, 18 Mei 2014

BN perlu berhati-hati, kedudukan Terengganu rapuh, kata Ahmad Said

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (dua dari kanan) kelihatan gembira menyambut tetamu pada majlis perkahwinan anaknya hari ini di Kuala Terengganu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 17 Mei, 2014.

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
MAY 17, 2014

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memberi amaran kepada Barisan Nasional (BN) untuk lebih berhati-hati mengendalikan kerajaan negeri itu kerana ia rapuh.

Ahmad yang ditemui di kediamannya pada majlis perkahwinan anak perempuannya di Kemaman, Terengganu berkata, dalam tempoh empat tahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pelbagai perkara boleh berlaku kepada negeri itu.

"Keadaan politik Terengganu rapuh, uruskan dengan cermat, macam-macam boleh berlaku dalam empat tahun," katanya kepada pemberita.


Ketika ditanya maksud "rapuh" yang dikatakannya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu hanya berkata:"Kamu pemberita, sepatutnya kamu tahu, (kedudukan kerusi) 15:17."

BN kini memiliki 17 daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, dengan baki 15 lagi menjadi milik Pakatan Rakyat (PR).

Tindakan Ahmad bersama Adun Bukit Besi, Roslee Daud dan Adun Ajil, Ghazali Taib mengisytiharkan diri menjadi Adun Bebas memberikan risiko BN kehilangan Terengganu pada 13 Mei lalu.

"Kalau kita bawa barang dalam kapal terbang, barang itu rapuh, kita perlu balut betul-betul, dan letakkan pelekat 'mudah pecah',” katanya.

Ahmad berkata, meskipun salah faham berkenaan tarikh perkahwinan anak perempuannya itu menjadi punca kepada krisis politik Terengganu, beliau menjelaskan isu berhubung perkara itu adalah "kesilapan cara."

"Saya katakan kita tiada masalah, hanya cara sahaja silap. Perjuangan kita belum selesai.

"Saya hanya susah hati bila ia melibatkan anak saya, bagi saya sendiri tidak, saya ‘fighter’," katanya.

Ahmad berkata, beliau akan meninggalkan arena politik pada PRU14 apabila menyatakan hasrat untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Katanya, sudah tiba masa untuk beliau berehat bersama keluarga setelah menjawat jawatan menteri besar Terengganu.

"Saya tidak mahu jadi calon (PRU14). No sorry. Cukup setakat di sini, cukup setakat yang saya ada.

"Saya tiada perancangan. Sekarang hendak rehat dulu dengan anak dan isteri," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut hadir di kediaman Ahmad hari ini bagi memeriahkan majlis perkahwinan anak perempuannya itu.

Najib tiba dengan menaiki helikopter dari Pekan, Pahang sekitar jam 1.10 petang tadi.

Salah faham berhubung tarikh perkahwinan anak perempuan Ahmad dengan Najib menjadi punca bekas menteri besar itu mengisytiharkan beliau keluar daripada Umno bersama dua Adun lain.

Tindakan itu dilakukan sehari selepas Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai menteri besar baharu Terengganu menggantikan Ahmad.

Bagaimanapun, isu itu selesai kurang 48 jam berikutnya apabila Najib dan Ahmad saling bermaafan.

Pada majlis itu, Najib turut menepung tawar pasangan pengantin Nor Ashahirah, 27, dan suaminya Mohd Shahirpaul Redzuan Musa, 28.

Majlis ijab kabul kedua mempelai berlangsung pada 9 Mei lalu di Kuala Terengganu.

Turut hadir pada majlis perkahwinan tersebut adalah Ahmad Razif, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman, serta Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga ahli Parlimen Besut. 

sumber –  The Malaysian Insider ,17 Mei, 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top