Selasa, 12 Oktober 2010

Calon PAS di PRK Galas Diumumkan pada 24 Oktober

"PAS akan mengumumkan nama calonnya untuk bertanding pada PRK DUN Galas pada 24 Oktober ini, dan semua senarai calon telah diserahkan kepada Dewan Syura untuk diperhalusi sebelum diputuskan secara muktamad," tegas Pengarah Pilihanraya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun.
"Kita (PAS) bercadang membuat pengumuman nama calon 24 Okt ini serentak dengan hari pengumuman yang akan dibuat oleh parti lawan BN (Barisan Nasional), ini dikirakan sesuai dan adil bagi semua pihak," katanya kepada Bernama di sini Isnin. Beliau yang juga anggota DUN Bukit Tuku berkata, mengikut kebiasaannya selepas mengumpul senarai nama calon berkenaan, anggota pimpinan PAS Pusat akan membuat kaji selidik dan semakan secara terperinci latar belakang calon terbabit sebelum membuat keputusan.

"Mereka akan turun ke bawah untuk memastikan calon yang paling sesuai dan memenuhi ciri-ciri kriteria yang dikehendaki sebelum membuat keputusan muktamad," katanya. Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan bahawa Orang Asli adalah antara senarai nama calon yang dicadangkan oleh parti kawasan berkenaan untuk diserahkan ke peringkat pimpinan parti itu.

Mengenai pelancaran jentera pilihan raya PAS bagi menghadapi kempen di kawasan Galas itu, Abdul Fatah berkata, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan merasmikan majlis pelancaran jentera pilihan raya itu pada 19 Okt ini. "Tarikh itu dianggap sesuai sebagaimana dipersetujui Menteri Besar Kelantan itu sendiri," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Galas akan diadakan pada 4 Nov jika ada pertandingan berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Che Sulaiman, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lepas. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon ialah pada 26 Okt ini, dan pengundian akan diadakan pada 4 November 2010.



sumber : Salam Perjuangan

1 ulasan:

  1. terimakasih dan tahniah. semoga diteruskan menulis. Selamat berjuang. Dato' Azizan

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
back to top